Home Sukan Kuching FA enggan dibuai kemenangan

Kuching FA enggan dibuai kemenangan

Pasukan Kuching FA.

KUALA LUMPUR – Kemenangan tiga kali berturut-turut nyata melonjakkan semangat Kuching FA yang sedia menampilkan aksi lebih bertenaga apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT II) di Stadium Negeri pada saingan minggu kesepuluh Liga Premier, pada Ahad ini.

Biarpun satu ketika pernah berada di dasar Liga Premier, keadaannya sudah berbeza buat Kuching FA yang kini melonjak ke tangga keenam serta berazam mahu mencipta sejarah layak ke Piala Malaysia buat pertama kali.

Menurut penolong jurulatih Kuching FA, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, beliau cukup teruja melihat perubahan mendadak dipamerkan pemain-pemainnya selepas bergelut dengan prestasi sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu apabila menang ke atas Sarawak United, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Namun Nurfaizal tidak mahu pemainnya terlalu dibuai tiga kemenangan sebelum ini kerana sedar lawan yang bakal mereka temui iaitu JDT II adalah pasukan yang cukup disegani kerana membariskan pemain berpengalaman serta bakat-bakat muda berkualiti.

“Sememangnya persiapan kami terjejas sedikit sebelum liga kembali bersambung bila ada pemain kami disahkan positif Covid-19 dan situasi itu membuatkan kami tidak dapat meneruskan latihan seperti biasa dengan hanya boleh berlatih di rumah.

“Pemain berdepan sedikit masalah dari segi keserasian dan kecergasan pada awalnya dan segalanya berubah apabila kami mendapat kemenangan pertama dengan Sarawak United, pemain-pemain mula mendapat keyakinan tinggi.

“Mental pemain juga semakin kuat dan mereka mampu berikan terhadap apa yang dihendaki di atas padang, cuma saya harap ini bukan kemuncak prestasi mereka kerana kita akan melalui dua perlawanan yang sukar selepas ini terutama bertemu JDT II jika mahu letak sasaran ke Piala Malaysia.

“Kami tidak boleh kehilangan mata dalam situasi sebegini kerana pencabar lain semakin rapat terutama Kelantan United dan Negeri Sembilan, jadi saya mahu momentum kecemerlangan ini boleh diteruskan semua pemain Kuching FA,” katanya.

Selain itu, Nurfaizal menambah, kehadiran Bryan Jones yang buat pertama kali turun membantu Kuching FA pada dua perlawanan terakhir, nyata memberikan banyak impak kepada jentera serangan terutama semasa menang besar 4-2 ke atas Negeri Sembilan pada aksi minggu lalu.

“Jones sebenarnya baharu dapat digunakan kami selepas dia baharu pulih daripada kecederaan dan tidak sempat bermain sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana datang pada waktu liga sudah ditangguhkan bagi gantikan seorang pemain import lain yang cedera.

“Aksi dengan Kelantan, dia menjadi salah seorang yang ‘assist’ ketika kami menang 2-0 sebelum perlawanan dengan Negeri Sembilan, dia meledak dua gol dan saya tidak nafikan Jones memang jadi salah seorang punca kebangkitan pasukan,“ katanya.

Empat perlawanan Liga Premier yang berlangsung esok bakal memperlihatkan pendahulu, Pulau Pinang melayani kunjungan Kelantan United FC di Stadium Bandaraya manakala pencabar terdekat mereka, Kuala Lumpur bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung berdepan Perak II.

Selain itu, Sarawak United FC yang masih mempunyai peluang ke Piala Malaysia akan berentap dengan pasukan di tangga ketiga Liga Premier, Terengganu FC II di Stadium Negeri dan satu lagi aksi membabitkan Selangor 2 bertemu UKM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Satu-satunya perlawanan yang berlangsung pada Sabtu ialah pertembungan Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV. – MalaysiaGazette