Home Nasional Perbaharui LKM, CDL melalui myEG

Perbaharui LKM, CDL melalui myEG

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal secara atas talian melalui sistem myEG akan dilaksanakan bermula 9 Oktober ini.

Sementara itu, bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula akan dilaksanakan secara atas talian bermula 16 Oktober 2020.

Ini tidak termasuk bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL).

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) berkata, pelaksanaan ini merupakan suatu inisiatif kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan sedia ada kepada orang ramai selaras dengan amalan norma baharu yang praktikal.

Pada waktu kini, perkhidmatan atas talian melalui sistem myEG adalah bagi urusan pembaharuan LKM bagi kereta persendirian sahaja.

Pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, beberapa perkhidmatan JPJ telah terganggu disebabkan penutupan kaunter akibat pandemik Covid-19 yang berleluasa.

Oleh itu, menurut JPJ, melalui inisiatif ini perkhidmatan JPJ akan menjadi lebih cekap dan mampan bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti. – MalaysiaGazette