Home Sukan Slot ke Piala AFC 2021 makin sengit – Aidil

Slot ke Piala AFC 2021 makin sengit – Aidil

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak memberi bayangan perlawanan akan menjadi semakin sengit dalam perebutan kedudukan kedua CIMB Liga Super sekali gus meraih slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun, dia enggan pemainnya terlalu memikirkan perkara itu yang akan menentang Perak di Stadium Darul Aman pada Ahad ini pada aksi terakhir, minggu hadapan.

Menurutnya, Melaka sudah pasti tidak akan membiarkan Kedah mengutip mata selepas mereka juga tewas kepada Sabah minggu lalu dan penting buat juara Piala FA 2019 ini memastikan segala strategi akan berhasil sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan bagi merampas kembali kedudukan kedua daripada Perak.

“Bagi saya, kami hanya perlu fokus perlawanan demi perlawanan dan tidak perlu lagi fikir sama ada kita mampu layak ke Piala AFC atau tidak.

“Maknanya bila kita sudah menang kedua-dua aksi terakhir ini, jadi kita memang akan ke Piala AFC dan sebab itu pemain perlu lebih tenang untuk menghadapi baki dua lagi perlawananan ini.

“Yang penting, fokus dan disiplin sangat dititikberatkan dan saya begitu yakin dengan pemain-pemain saya bahawa mereka akan memberikan lebih 100 peratus pada hari Ahad ini.

“Perlu ingat, dua perlawanan ini sangat penting, begitu juga dengan Perak di mana mereka akan bertemu Pahang terlebih dahulu, bukan mudah untuk Perak, dan selepas itu akan menentang Kedah pula di mana di situlah akan menjadi penentu segala-galanya,” jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini hari ini.

Kedah ketika ini hanya dibezakan satu mata di belakang Perak untuk berada di tangga ketiga manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) gah di takhta liga yang bakal ditabalkan selaku juara CIMB Liga Super buat kali ketujuh pada malam esok sekiranya mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim.

UiTM FC yang kini di tangga keempat juga dalam landasan terbaik untuk berada dalam kelompok teratas sekiranya mereka menang ke atas PJ City FC pada malam esok di Stadium UiTM Shah Alam.

Tiga lagi perlawanan pada Sabtu membabitkan Felda United yang masih bekerja keras untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan apabila bakal berdepan Terengganu FC manakala Pahang pula akan menerima kunjungan Perak dan PDRM yang sudah pasti turun ke Liga Premier 2021 akan menentang Selangor. – MalaysiaGazette