Home Sukan Slot Piala AFC lebih penting berbanding Anugerah Kasut Emas – Shahrel

Slot Piala AFC lebih penting berbanding Anugerah Kasut Emas – Shahrel

Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi

KUALA LUMPUR – Mengesahkan slot Piala AFC 2021 buat Perak, adalah lebih utama bagi Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi buat masa ini, berbanding mengejar Anugerah Kasut Emas 2020.

Penyerang berumur 26 tahun itu tidak mahu terlalu tamak mengejar jaringan sehingga membelakangkan kejayaan pasukannya, apabila skuad Bos Gaurus bakal berdepan dua pencabar handal dalam baki dua aksi Liga Super musim ini.

Perak yang berada di tempat kedua carta Liga Super dengan 17 mata, tidak boleh keciciran mata apabila bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini dan pasukan di tempat ketiga, Kedah (16 mata) pada 10 Okt di Stadium Perak, untuk kekal di tangga kedua sekali gus layak ke Piala AFC 2021.

“Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya, kerana sebelum ini kalau kita tengok selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

“Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol, sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Mohd Shahrel yang telah meledak sembilan gol setakat ini merupakan satu-satunya pemain tempatan dalam senarai penjaring utama, yang turut dibarisi pemain import seperti Tchetche Kipree (Kedah), Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor), yang masing-masing menjaringkan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim) telah menjaringkan enam gol. – MalaysiaGazette