Home Nasional Bahan kimia tumpah, 14 pekerja kilang sesak nafas, cedera

Bahan kimia tumpah, 14 pekerja kilang sesak nafas, cedera

Seramai 14 pekerja kilang mengalami sesak nafas dan melecur terkena percikan bahan kimia, selepas bekas mengandungi asid hydrocloric terjatuh di atas lantai sebuah bilik makmal dan pecah, dalam kejadian di sebuah kilang di Halaman Kampung Jawa 2, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dekat sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 14 pekerja kilang mengalami sesak nafas dan melecur terkena percikan bahan kimia, selepas bekas mengandungi asid hydrocloric terjatuh di atas lantai sebuah bilik makmal dan pecah, dalam kejadian di sebuah kilang di Halaman Kampung Jawa 2, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.08 tengah hari ini terdapat tumpahan bahan kimia di kilang tersebut, sebelum sepasukan bomba bersama jentera bergegas ke lokasi.

“Sebaik pihak bomba tiba, kami mendapati terdapat satu bekas mengandungi Asid Hydrocloric membabitkan cecair bahan kimia sebanyak satu liter, telah jatuh di atas lantai dan pecah telah menyebabkan seramai 13 pekerja wanita di situ mengalami sesak nafas.

“Manakala seorang pekerja lelaki pula melecur terkena percikan bahan kimia tersebut. Semua mereka telah dihantar ke klinik berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) bomba turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut.- BERNAMA