Home Politik Pasca PRN Sabah: UMNO perlu fikir dengan siapa harus bersepakat

Pasca PRN Sabah: UMNO perlu fikir dengan siapa harus bersepakat

Gelagat antara Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas sidang media mengenai perlantikan Ketua Menteri Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memikirkan kembali parti mana ia harus berpakat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ini kerana, kedua-dua rakan UMNO di dalam Barisan Nasional (BN) iaitu PBRS dan MCA, langsung tidak boleh diharapkan.

Jika, tidak, UMNO secara bersendirian tidak mampu melangkah jauh.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, kekalahan paling banyak BN adalah di tangan Warisan, DAP yang bertanding atas tiket Warisan dan calon UPKO yang bersekutu dengan Warisan iaitu 17 kerusi (62.96%), di mana unsur sabotaj jika ada,  terlalu minimum berbanding kekuatan pihak lawan.

Kekalahan kedua paling banyak BN adalah membabitkan kekalahan di tangan calon-calon parti yang bersekutu dengan PN, PBS dan STAR, iaitu tujuh kerusi (25.93%).

Disebabkan PBS dan STAR juga turut bertanding sesama sendiri, untuk menyatakan bahawa kedua-dua parti terlibat di dalam cubaan mensabotaj BN adalah sukar, rumus Kamarul.

Menurutnya, kekalahan BN di tangan calon-calon bebas, iaitu tiga kerusi (11.11%), menarik untuk diperkatakan.

Datuk Masiung Banah merupakan bekas pemimpin UPKO dan Warisan; Datuk Rubin Balang pula bekas pemimpin UMNO dan Bersatu; Dato Seri Dr Ruddy Awah juga bekas pemimpin UMNO, PKR dan Bersatu.

”Apakah kekalahan BN di tangan 3 calon bebas ini adalah kerana disabotaj, silap strategi atau kedua-duanya sekali perlulah dikaji dengan lebih teliti.

”Begitupun, kalau ada unsur sabotaj di sini sekalipun, ia tidak membawa kepada kesimpulan bahawa prestasi kurang baik BN dalam PRN Sabah adalah kerana BN disabotaj,” katanya.

Mengikut analisis yang dibuat, daripada 27 kerusi kalah BN, 13 kerusi (48.15%) adalah membabitkan kekalahan di tangan calon-calon Warisan, iaitu membabitkan kekalahan 12 calon UMNO dan 1 calon MCA.

Daripada 27 kerusi kalah BN, 4 kerusi (14.81%) membabitkan kekalahan di tangan calon-calon PBS, iaitu membabitkan kekalahan 2 calon UMNO dan 2 calon PBRS.

Manakala daripada 27 kerusi BN kalah, tiga kerusi (11.11%) di tangan calon-calon STAR, iaitu membabitkan kekalahan 2 calon PBRS dan 1 calon UMNO.

Daripada 27 kerusi BN kalah tiga kerusi (11.11%) dengan DAP membabitkan kekalahan 3 calon MCA dan daripada 27 kerusi yang BN tewas, 3 kerusi (11.11%) jatuh di tangan calon-calon bebas, iaitu membabitkan kekalahan 3 calon UMNO.

Daripada 27 kerusi itu juga, satu kerusi (3.70%) melibatkan kekalahan di tangan calon UPKO, iaitu calon PBRS.

Dalam PRN Sabah lalu, UMNO bertanding di 32 kerusi serta menang di 14 kerusi (43.75%) dan kalah di 18 kerusi (56.25%).

Kamarul berkata, secara keseluruhannya pula, BN bertanding di 41 kerusi serta menang di 14 kerusi (34.15%) dan kalah di 27 kerusi (65.85%). – MalaysiaGazette