KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan pemergian bekas Menteri Undang-Undang, Datuk View Vui Keong atau lebih popular dengan panggilan VK Liew.
Guan Eng menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan bukan untuk Sabah sahaja sebaliknya Malaysia secara keseluruhan.
“Saya sangat sedih dengan pemergian bekas rakan Kabinet saya V. K Liew yang tidak dijangka.
“Beliau bukan sahaja seorang sahabat tetapi juga pejuang kebenaran dan keadilan untuk Sabah dan Malaysia.
“Mendiang seorang yang sangat fokus dengan tugasan Menteri namun beliau tidak pernah lupa akan tugasnya kepada negeri tercintanya, Sabah.
“VK Liew sangat bangga dengan perpaduan dan keharmonian antara agama dan kumpulan etnik yang berlainan di Sabah yang mesti dipertahankan daripada golongan rasis dan pelampau agama,’” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Sambung Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sememangnya banyak pencapaian VK Liew yang tidak mampu di luah melalui kata-kata sahaja.
“Sebenarnya banyak sungguh pencapaianya tetapi yang paling utama adalah ketika beliau berusaha di Parlimen untuk memulihkan dan mengembalikan status Sabah dan Sarawak pada kedudukan yang setara dengan Semenanjung Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun PH tidak dapat memperoleh majoriti 2/3 yang diperlukan, sekurang-kurangnya ada Menteri Sabah dan Sarawak seperti VK Liew yang bersedia berjuang untuk negeri mereka.
“Secara peribadi, VK Liew adalah seorang yang ramah dan murah hati, dan seorang suami dan individu yang sangat mementingkan keluarga.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya yang sedang berkabung atas kehilangan mereka. Ini bukan sahaja kerugian kepada Sabah tetapi juga Malaysia.
“Kami akan memberi penghormatan kepada VK dengan memberi komitmen untuk menyelesaikan apa yang dia rencanakan untuk perpaduan di Sabah dan Malaysia. Semoga Tuhan memberkati rohnya. Berehatlah sahabat,” ujarnya.
VK Liew menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu.
Difahamkan anggota keluarga memohon diberikan ruang dan tidak bersedia mengeluarkan sebarang kenyataan sebaliknya akan hanya mengeluarkan kenyataan apabila tiba waktu yang bersesuaian.
Berita mengenai kesihatan mendiang mula diperkatakan selepas terdapat beberapa pesanan di laman sosial yang meminta orang awam mendoakan Vui Keong yang didakwa berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.
Artikel berkaitan: Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong meninggal dunia
Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah tidak kelihatan sejak pengumuman calon parti itu kira-kira dua minggu lalu.
Mendiang yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee dan empat anak. -MalaysiaGazette