KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berjaya mengumpul hampir RM44,000 sehingga pagi ini bagi membantu mahasiswa yang terkandas di institusi pengajian tinggi ketika ini.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, sumbangan orang ramai itu dilancarkan sejak malam tadi sebaik laporan mengatakan ramai mahasiswa yang terkesan akibat penangguhan pulang ke kampus bermula semalam.
“Update perkembangan sumbangan yang saya telah lancarkan malam tadi. Sehingga pagi ini, sebanyak 3,695 permohonan diterima daripada anak siswa.
“Manakala sebanyak RM 43,998.29 telah disumbangkan oleh orang ramai,” tulisnya di Facebook miliknya di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.
Saranan itu dibuat kerana KPT amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.
KPT berkata, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.
Mengulas lanjut, Maszlee menambah, oleh kerana terlalu banyak permohonan, beliau menyeru semua untuk terus menyebarkan usaha itu supaya lebih ramai orang dapat menyumbang.
Jelasnya lagi, bagi mereka yang mahu menyumbang boleh salurkan wang ke Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan di nombor akaun Maybank: 5647-1752-7213
“Ini adalah untuk memastikan lebih ramai permohonan dapat kita proses untuk diberikan bantuan.
“InshaAllah, 100 penerima kumpulan pertama akan kita usahakan untuk menerima bantuan pada hari ini juga. Ini akan kita maklumkan sekitar jam 1 tengah hari nanti,” katanya. – MalaysiaGazette