KUALA LUMPUR- Para pelajar institusi pengajian tinggi yang terkesan akibat penangguhan pulang ke kampus semalam boleh menghubungi Sekretariat Mahasiswa dan Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka akan cuba sedaya upaya untuk membantu para pelajar berkenaan.
“Meneliti segala komen dan maklumbalas di pelbagai ruangan media sosial, diharapkan bagi mahasiswa-mahasiswi yang terjejas dengan Pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan penangguhan pelajar pulang ke kampus, sila hubungi pihak Sekretariat Mahasiswa dan Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sebagaimana nombor hotline yang disediakan: 03-82107244.
“InsyaAllah pihak Sekretariat di bawah Exco saya Saudara Farhan Khairuddin akan cuba membantu sedaya mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.
Saranan ini dibuat kerana KPT amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.
KPT berkata, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.- MalaysiaGazette