Home Sukan Pulau Pinang juara Liga Premier

Pulau Pinang juara Liga Premier

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang sah bergelar juara Liga Premier musim ini selepas melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan United di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Walaupun aksi liga masih berbaki satu perlawanan, skuad kendalian Manzoor Azwira Wahid itu meraih kejuaraan awal selepas pencabar terdekatnya Kuala Lumpur sekadar seri tanpa jaringan dengan Perak II di Manjung.

Lebih manis, pasukan Harimau Kumbang berpeluang menamatkan liga musim ini dengan rekod tanpa kalah jika seri atau menang ke atas Terengganu FC II dalam aksi terakhir di tempat lawan minggu depan.

Dalam perlawanan di laman sendiri, empat gol Pulau Pinang dijaringkan menerusi Lee Changhoon, Al Hafiz Harun pada babak pertama dan dua lagi menyusul pada babak kedua hasil ledakan Bobby Gonzales dan Casagrande.

Kemenangan itu menyaksikan Pulau Pinang mengutip 26 mata hasil lapan menang dan dua seri dengan berbaki satu lagi perlawanan dengan meninggalkan Kuala Lumpur lima mata. – MalaysiaGazette