KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian itu di seluruh Sabah kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan beroperasi seperti biasa.
Terdapat empat daerah yang dikenakan PKPDB iaitu Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Kunak.
KPM dalam kenyataannya berkata, semua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas diberi kebenaran khas untuk melakukan perjalanan rentas sempadan bagi memastikan operasi insititusi tidak terjejas.
“Bagi tujuan ini, Ketua Jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas kepada pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas.
“Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah sekolah bagi membolehkan murid merentas sempadan daerah untuk hadir ke sekolah.
“KPM akan terus komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh perintah kawalan rentas daerah ini.
“Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah atau home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya.
Bagaimanapun, operasi institusi pendidikan di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna adalah tertakluk kepada PKPDB secara pentadbiran bermula 29 September hingga 12 Oktober.
Sebanyak 209 buah sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM diarahkan tutup berikutan pelaksanaan PKPDB.
Kawalan rentas daerah di Sabah diaktifkan sejak tengah malam tadi sehingga 16 Oktober ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.- MalaysiaGazette