Home Utama Tidak perlu PKP, sekat rentas daerah – Ismail Sabri

Tidak perlu PKP, sekat rentas daerah – Ismail Sabri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan rentas daerah di seluruh negara ketika ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun berlaku peningkatan kes mendadak kebelakangan ini namun kebanyakannya berlaku di dalam penjara iaitu melibatkan Kluster Tembok di Kedah dan Kluster Benteng di Sabah.

Kes-kes jangkitan di luar kawasan penjara tidak membimbangkan, katanya.

“Semalam, ada 287 kes baharu tetapi daripada 113 kes di Sabah, 35 adalah di bawah Kluster Benteng manakala sebanyak 129 kes yang direkodkan di Kedah, 128 berlaku di dalam penjara. Hanya satu kes di luar.

“Di negeri-negeri lain, hanya Selangor yang mencatatkan 31 kes itu pun masih belum tahap merah iaitu 40 kes.

“Negeri-negeri lain hanya mencatatkan satu hingga tiga kes sahaja. Perlis tiada kes langsung.

“Ini tidak membimbangkan. Seperti yang kita sering katakan sebelum ini, virus ini akan sentiasa berada bersama-sama kita sehingga vaksin ditemui.

“Kalau setakat ada satu atau dua kes kita hendak laksanakan PKP di seluruh negara, sampai bila-bila kita tidak boleh buka (menjalankan aktiviti normal).

“Kalau ada pun kawasan (atau negeri) yang mencatatkan kes yang terlampau tinggi maka kita akan laksanakan PKP secara lokaliti (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) seperti biasa,” katanya semasa sidang media khas Covid-19 hari ini.

Sambil membayangkan kes baharu Covid-19 mungkin meningkat lagi hari ini, Ismail Sabri meminta orang ramai untuk tidak cepat panik sebaliknya melihat dahulu data-data kes yang menjadi penyumbang kepada peningkatan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, orang ramai tetap perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Saya tahu ramai yang akan marah kepada saya apabila saya minta rakyat untuk tidak panik.

“Jangan panik kerana peningkatan kes yang berlaku kebelakangan ini melibatkan kes-kes di penjara dan bukannya di luar.

“Tetapi meskipun tidak perlu panik, orang ramai masih perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak,” katanya lagi.

Untuk rekod, larangan rentas daerah hanya dikenakan di Sabah bermula hari ini.- MalaysiaGazette