KESATUAN NUFAM sekali lagi mempetikaikan masa dan waktu yang tidak bersesuaian dengan misi “keprihatinan” terhadap rakyat oleh kerajaan di mana syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah mengumumkan cadangan kali kedua pengstrukturan terbaru mereka.
Ini sama sekali amat mengejut ramai pihak kerana ia bercanggah dengan apa yang kerajaan mahu iaitu memberi bantuan kepada syarikat dan pekerja di dalam negara yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Kerajaan Malaysia juga telah maklum berulang kali akan melindungi dan terus memberi bantuan untuk mengekalkan kehidupan ekonomi rakyat terutama sekali golongan tersasar.
Pengumuman penstrukturan MAB sama sekali amat mengejutkan dan nampak telah bercanggah dengan apa yang telah diumumkan pada awalnya oleh Perdana Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
“Mengapa perlukan penstrukturan kali kedua ketika keadaan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan?
MAB masih di bawah pantauan kerajaan Malaysia dan initiatif untuk mengekalkan operasi MAB harus dilaksanakan kerana idea asal ini adalah idea kerajaan dan Khazanah Nasional.
Adakah kerajaan hari ini mahu mengaku pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional ini sudah gagal sekali lagi?
Apa sudah terjadi dengan pelan pelan yang dicadangkan oleh pengurusan MAB dan Khazanah Nasional?
Kedua-dua pihak ini harus jangan lupa bahawa kerajaan telah membelanjakan besar sebanyak RM6 bilion pada tahun 2015 dengan pengstrukturan MRP ketika dulu dan hanya setelah 4 tahun.
Berapa lagi banyak pembelanjaan yang harus diperlukan untuk pengstrukturan syarikat nasional hari ini? Pengstrukturan syarikat seperti MAB memerlukan pembelanjaan yang sungguh tinggi dan mampukah kerajaan menanggung kerugian sebegitu besar buat kali kedua ini? Mampukah kerajaan hari ini membiayai pelan pengstrukturan MAB semua yang akan bernilai berbilion ringgit ketika ekonomi negara masih tenat?
Semua pihak termasuk kesatuan sekerja pernah memberi banyak cadangan untuk membantu syarikat MAB tetapi cadangan ini semua telah ditolak oleh kerajaan dan pihak atasan Khazanah Nasional.
Hari ini kita nampak semula hasil sesetengah pihak yang dikatakan betul betul mampu mengembalikan syarikat MAB ke era kegemilangan MAS ketika dulu tetapi malangnya, semua impian ini pudar sama sekali lagi.
Ramai berpendapat MAB boleh maju lebih jika pengurusan mereka bersikap lebih terbuka dan tidak begitu egoistik sehingga tidak mahu bekerjasama atau menerima apa apa cadangan langsung dari pihak Kesatuan sekerja.
Seeloknya Perdana Menteri Malaysia boleh menasihati pengurusan MAB dan Khazanah Nasional supaya bekerjasama dengan pihak kesatuan pekerja tetapi malangnya, ramai antara mereka lebih mahu membinasakan hak dan suara pekerja dan kesatuan di dalam syarikat MAB.
Mereka juga mahu menindas hak hak pekerja dan kesatuan agar menyenangkan pelan mereka. Akhirnya, hasil semua ini masih tidak membawa apa apa kebaikan langsung kepada beribu pekerja mereka yang telah bekerja keras untuk syarikat MAB.
Dengan adanya pengumuman pengstrukturan sekal lagi, apakah matlamat dahulu masih belum dicapai? Apakah perasaan beribu pekerja di dalam syarikat ini apabila mereka sudah tahu besar kemungkinan mereka akan dihentikan pekerjaan mereka nanti?
Siapa pula yang akan bertanggungjawab terhadap kebajikan beribu pekerja ini apabila mereka ini hilang kemampuan untuk hidup? Inilah yang ramai orang sedang risau dan amat kecewa sekali apabila MAB membuat pengumuman mengenai pengstrukturan hari ini.
Inilah sikap pengurusan syarikat penerbangan yang tidak sensitif dan sentiasa berkonsepkan “divide and rule”.
Syarikat MAB setelah pengstrukturan pertama berjaya membuang 6,000 pekerja pada tahun 2015 telah banyak kali mencanang kepada semua pihak bahawa mereka mampu membawa kemajuan kembali jika tiada campurtangan dari mana mana pihak Kesatuan sekerja tetapi lihatlah sendiri hari ini. Apa sudah jadi kepada syarikat yang dikatakan telah “reset” semula?
Malah ada pihak juga pernah menuduh MAS sebenar rugi atas sebab ramai antara pekerja mereka tidur semasa waktu bekerja.
Hasilnya hari ini, siapa yang tidur sebenarnya?
Ini adalah satu kenyataan yang mana pengurusan MAB masih gagal melakukan yang terbaik bagi membawa keuntungan untuk syarikat nasional ini setelah pengstrukturan besar dilakukan dulu.
Kegagalan MAB kali ini tidak ada kaitan langsung atau campurtangan dari mana mana pihak kesatuan sekerja kerana pengurusan MAB sebenarnya sudah pun gagal dan hilang kemampuan asal mereka untuk mengendalikan bahagian operasi dan rangkaian penting mereka.
MAB selama ini masih rugi sejak ia bertukar ke nama baru. Khazanah Nasional pernah menyatakan bahawa pengurusan mereka mampu mengendalikan MAB semula dengan adanya pengurangan kontrak pekerja dan ini sama sekali menunjukan andaian mereka itu salah.
Masalahnya seperti yang NUFAM pernah nyatakan kerugian MAS dan MAB bukan masalah atas sebab lebihan pekerja tetapi sikap lewa beberapa pihak pengurusan tinggi dan campurtangan sesetengah pihak yang sebenarnya tidak ada kewibawaan atau kepakaran untuk menguruskan syarikat nasional sebesar ini.
Sesetengah pihak di dalam Khazanah Nasional juga sentiasa campur tangan dengan urusan dalam MAB dan atas sebab sikap tidak ambil peduli dan tidak mahu menerima cadangan yang betul adalah punca kemorosotan kepada syarikat MAB hari ini.
Pengurusan MAB harus lebih prihatin dengan keadaan semasa sebab mereka bukan syarikat penerbangan kos tambang murah yang terpaksa membiayai dan tanggung syarikat mereka sendiri tanpa sebarang bantuan kewangan oleh kerajaan.
MAB adalah sebuah syarikat nasional seperti SIA di mana objektif dan keperluan untuk membangunkan syarikat tersebut dengan adanya perbincangan terbuka dengan semua pihak termasuk kesatuan sekerja.
Hari ini apabila ramai pekerja di MAB tidak diwakili oleh mana-mana kesatuan, misi syarikat senang dicapai.
Dari awal MAB ditubuhkan, ramai pekerja ini telah mengadu kepada NUFAM kerana mereka tidak mempunyai wakil kesatuan untuk membantu masalah mereka di dalam syarikat.
Akhirnya pekerja ini semua terpaksa tunduk dengan kehendak pihak syarikat sehingga ramai pekerja ini terpaksa bekerja siang malam tanpa bayaran kerja lebih masa.
Ketika Covid-19, ramai dari pekerja ini telah dicutikan dan ramai menerima potongan gaji sehingga 50%.
Bukankah itu menunjukan satu pengurangan pembelanjaan yang besar dari 13,000 pekerja buat syarikat MAB juga?
Malah ada pekerja ini sanggup bergadai nyawa sehingga sanggup beroperasi ke luar negara ketika wabak Covid-19 masih dalam keadaan bahaya dan aktif di negara tersebut.
Kru kabin dan pekerja lain juga terpaksa bertarung nyawa siang malam untuk beroperasi ke luar negara yang berada dalam zon merah sebab MAB masih mahu kekal beroperasi ketika kes Covid-19 sedang naik di merata dunia.
Ramai pekerja ini juga telah memberi kerjasama yang terbaik sehingga ada yang sanggup mengembalikan gaji bulanan mereka bagi membantu syarikat ketika PKP Covid-19 berlangsung.
NUFAM berpendapat MAB hari ini hanya mengambil kesempatan dan peluang emas ini untuk mengumumkan pengstrukturan kali kedua setelah melihat keadaan Covid-19 masih berlangsung.
Syarikat MAB sebenarnya sudah nazak pada awalnya dengan kerugian dan ketirisan sedia ada.
Pengurusan ini tidak mampu mengendalikan syarikat sejak dari awal kerana mereka susah hendak bersaing dengan syarikat penerbangan global yang lain, termasuk saingan hebat dengan syarikat kos tambang murah setelah selesai pengstrukturan dilakukan pada tahun 2015. Banyak daripada operasi penerbangan dan jadual MAB dikendali oleh syarikat kos tambang murah.
Sesetengah pihak pengurusan dalam MAB sebenarnya tidak begitu dinamik kerana sikap penyusunan semula pihak pengurusan mereka kesemunya nampak telah gagal.
Malah, antara pihak kerajaan juga tidak pernah mengambil sikap peduli langsung mengenai masalah yang dihadapi oleh pekerja pekerja di dalam MAB.
Jadi, kali ini NUFAM berharap jangan pula ada yang mahu salahkan lagi pekerja atau kesatuan sekerja atas kegagalan dan kerugian yang masih berlaku dalam syarikat nasional ini.
Ismail Nasaruddin
Presiden
Kesatuan NUFAM