Home Nasional Selangor salur bantuan awal bantu mahasiswa terkesan Covid-19

Selangor salur bantuan awal bantu mahasiswa terkesan Covid-19

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor melalui Kaukus Ahli Dewan Negeri Muda akan menyalurkan bantuan awal kepada mahasiswa yang terkesan dengan pandemik Covid-19 khususnya ketidaktentuan status di pusat pengajian masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu susulan keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 uga menekan situasi kewangan kepada golongan mahasiswa.

“Situasi Covid-19 yang semakin membimbangkan memberi cabaran serius kepada kita semua, lebih-lebih lagi kepada mahasiswa dan mahasiswi akibat risiko jangkitan virus Covid-19.

“Program ini memfokuskan bantuan kepada tiga kategori mahasiswa iaitu mahasiswa Selangor yang belajar di Selangor, mahasiswa dari negeri lain yang belajar di Selangor dan mahasiswa Selangor yang belajar di negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Amirudin, Kaukus ADN Muda Selangor itu mendapat kerjasama dengan Team Selangor, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mahasiswa KEADILAN dan Biro Mahasiswa AMK Malaysia.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor ketika ini dalam rangka mengumpulkan maklumat ke arah menyediakan tiga bentuk kemudahan kepada mahasiswa terbabit.

“Antaranya pengangkutan kepada mahasiswa yang perlu pulang ke kampung, bantuan makanan atau pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Katanya lagi, mahasiswa yang memerlukan bantuan-bantuan ini boleh merujuk kepada pautan yang disertakan bagi proses permohonan serta maklumat tambahan.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh golongan mahasiswa dan mahasiswi yang terkesan pada ketika ini,” katanya lagi.

Antara pautan itu ialah Borang Edaran TS Care Kit (IPTS) di http://bit.ly/mdekatA atau Borang Bantuan Makanan Siswa Kampus Selangor (IPTA Sahaja) di http://bit.ly/mdekatB da. Borang Bantuan Pengangkutan Anak Negeri Selangor di http://bit.ly/mdekatC.

Manakala ahli Kaukus ADN Muda Selangor pula ialah Jamaliah Jamaluddin, Juwairiya Zulkifli, Edry Faizal, Lim Yi Wei, Michelle Ng, Najwan Halimi, Rajiv Risyakaran, Wong Siew Ki dan Chua Wei Keat. – MalaysiaGazette