Home Nasional Walaupun kerajaan sedia insentif, masih ramai terjejas, perlukan bantuan akibat Covid-19 –...

Walaupun kerajaan sedia insentif, masih ramai terjejas, perlukan bantuan akibat Covid-19 – Ismail Kijo

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo bercakap kepada media pada program sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU), asnaf, anak yatim, dan ibu tunggal kawasan Parlimen Ampang di Ibu Pejabat PUMMA, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan pusat tidak dinafikan dapat meringankan beban orang ramai yang masih terkesan akibat Covid-19 sejak Mac lalu.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo mendedahkan, namun sehingga ke hari ini masih terdapat banyak keluarga yang masih sukar untuk memulihkan pendapatan mereka kerana ramai kehilangan pekerjaan.

Lebih membimbangkan masih ramai yang kekurangan bekalan makanan akibat pendapatan tidak menentu, lebih-lebih lagi apabila kes baharu positif Covid-19 kini mencecah lebih 300 kes sejak semalam.

“Saya sendiri terlibat secara langsung di peringkat UMNO Bahagian Ampang, walaupun pihak kerajaan membantu mereka, tapi masih ramai perlu dibantu.

“Contohnya mereka datang berjumpa kami, telefon, di pejabat kami di Ampang. Alhamdulillah kami juga menyediakan keperluan-keperluan yang mereka perlukan.

“Ada di antaranya di rumah tiada apa-apa (barang makanan) di mana anak-anak mereka perlukan seperti orang lain

“Saya kata datanglah ke UMNO Bahagian Ampang, kita akan bagi (barang keperluan),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam Program Sumbangan Bantuan Keperluan anjuran Pertubuhan Usahawan Anak Muda Malaysia (PUMMA) di Taman Tasek Tambahan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PUMMA, Datuk Hasry Sham Chasmen.

Dalam pada itu, Ismail menyambut baik usaha badan bukan kerajaan (NGO) seperti PUMMA di mana satu-satunya badan yang dikendalikan anak muda untuk membantu golongan yang terjejas di sekitar Parlimen Ampang.

Malah katanya, usaha NGO anak muda itu perlu dicontohi oleh semua pihak dalam membantu kerajaan untuk membantu golongan memerlukan yang masih terkesan akibat Peritnah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

“Dengan adanya anak-anak muda yang aktif begini, sekurang-kurangnya banyak saluran boleh memberi sumbangan kepada orang susah dan memerlukan.

“Kita tak boleh kata bahawa kerajaan sudah bagus buat itu, tapi masih ramai lagi yang perlu kita bantu dan tindakan demikian saya rasa patut dicontohi,” jelasnya.

Ismail juga mengalu-alukan masyarakat peniaga yang selama ini mengaut keuntungan daripada perniagaan mereka untuk kembali kepada masyarakat yang kini berdepan ancaman gelombang kedua Covid-19.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya peniaga-peniaga ini punyai kesedaran yang sangat tinggi untuk memberikan bantuan makanan melalui Pertubuhan seperti anak-anak muda ini.

“Kita kena dapatkan seberapa ramai yang boleh mereka terlibat dalam NGO dan orang-orang muda kerana mereka ini adalah bertanggungjawab pada masa akan datang.

“Cara mereka membantu ini adalah salah satu latihan untuk diri mereka dan menyediakan diri mereka sebagai pemimpin di masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette