KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyewelengan dana RM2.3 bilion terpaksa ditangguh sehingga 19 Oktober ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menjalani kuarantin selama dua minggu.
Bekas Perdana Menteri itu berada di Sabah bagi Pilihan Raya Negeri ke-16 sebelum pulang pada 27 September lepas.
Walaupun keputusan ujian Najib negatif namun beliau tetap menjalani kuarantin sehingga 12 Oktober ini dan tidak dapat menghadiri prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setelah mengambil kira alasan serta dokumen dilampirkan oleh pasukan bela, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan penangguhan sehingga 19 Oktober ini.
Menurut peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Collin, anak guamnya telah mengambil ujian Covid-19 di Sabah, sebelum pulang ke Semenanjung Malaysia.
“Anak guam saya telah berada di Sabah bersama-bersama ahli politik serta pemimpin lain berkempen, ada dalam kalangan mereka juga di dapati positif. Anak guam saya juga terperangkap dengan situasi tersebut.
“Dalam kempen pilihan raya itu, isu penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka dipatuhi sebaik mungkin tetapi pada masa capai kepatuhan 100 peratus juga.
“Saya ada bercakap dengan anak guam saya adakah beliau terdedah, katanya ya namun tidak pasti sejauh mana. Namun demikian beliau telah ambil inisiatif bertanggungjawab mengkuarantin diri,” katanya hari ini.
Shafee juga memberitahu mahkamah Najib membuat demikian bagi mengelak keadaan yang mana seorang menteri sebelum ini telah dikritik hebat kerana tidak patuh kuarantin.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan penangguhan tersebut dan membiarkan hakim membuat keputusan tersebut.
Collin Sequerah kemudian membenarkan permohonan pembelaan untuk mengosongkan tarikh perbicaraan untuk minggu ini.
Najib ketika ini sedang dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.
Dalam pada itu, perbicaraan rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk SeriAhmad Zahid Hamidi yang sepatutnya bersambung minggu ini juga telah di tangguhkan Mahkamah Tinggi sehingga tamat sesi kuarantin kendiri selama dua minggu. -MalaysiaGazette