Home Nasional ADUN DAP positif Covid-19

ADUN DAP positif Covid-19

Lim Yi Wei

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kali kedua.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau menjalani saringan pertama di klia2 pada 27 September lalu sebaik tiba dari Sabah dan keputusan yang diperolehinya pada 30 September adalah negatif.

Bagaimanapun, Yi Wei berkata, beliau mula mengalami gejala berkaitan Covid-19 pada 1 Oktober dan menjalani saringan kedua pada 2 Oktober lalu.

“Berdasarkan saranan PKD, saya menjalankan ujian saringan kedua pada 2 Oktober dan sambung pengasingan kendiri sehingga saya dimaklumkan keputusannya daripada PKD pada hari ini (5 Oktober).

“Pasukan saya juga mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama kami kembali. Mereka juga mendapat keputusan ujian saringan pertama yang negatif dan akan menjalankan ujian saringan kedua dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yi Wei juga memohon maaf kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan, rakan seperjuangannya serta semua pihak yang terkesan.

“Saya juga menyeru semua yang berkontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette