KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 1.75 peratus semasa Mesyuarat Dasar Monetari yang dijadualkan pada 3 Novermber depan.
OCBC Bank berkata, unjuran tersebut bersandarkan kepada harapan agar usaha membendung Covid-19 berjaya.
Tambahnya, risiko penurunan OPR akan meningkat sekiranya jumlah kes positif baharu turut meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Bagaimanapun, buat masa sekarang prospek masih rendah kerana Menteri Kanan Pertahanan telah memaklumkan tiada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana peningkatan kes ketika ini adalah disebabkan kluster-kluster yang terasing (dalam penjara),” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Menurut OCBC Bank, ia berharap kesedaran sosial yang lebih baik berbanding awal tahun ini dapat membantu rakyat Malaysia menghindari PKP.
“Namun begitu, persekitaran yang tidak menentu ini tetap akan menjejaskan pemulihan ekonomi yang baharu sahaja bermula seperti mana yang ditunjukkan dalam pembelian menggunakan kad kredit dan jualan kenderaan baru-baru ini,” katanya lagi.
BNM telah menurunkan OPR sebanyak empat kali berturut-turut tahun ini bermula dengan masing-masing 25 mata peratusan semasa mesyuarat pada Januari dan Mac diikuti 50 mata peratusan pada Mei dan seterusnya 25 mata peratusan pada Julai.- MalaysiaGazette