KUALA LUMPUR – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berpendapat pemberian kuota data percuma oleh Celcom yang berdepan dengan masalah gangguan perkhidmatan petang semalam tidak memadai.
Sebaliknya pengguna perlu jaminan bahawa gangguan seperti ini tidak menjadi kebiasaan.
Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengguna juga perlu dimaklumkan dengan kadar segera jika berlaku gangguan rangkaian agar tidak menimbulkan kegusaran kepada pengguna.
”Selain itu, kita juga melihat pelbagai masalah yang dilaporkan pengguna di media sosial seperti tidak dapat melakukan transaksi pembayaran dalam talian, tidak dapat menghubungi keluarga, menjejaskan pengalaman penunggang perkhidmatan e-hailing serta menjejaskan punca rezeki pemandu berkaitan, dan pelbagai masalah lain lagi.
”Ianya menjadi lebih kritikal dalam norma baharu apabila pengguna terlalu bergantung dengan perkhidmatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Semalam gangguan perkhidmatan Celcom berlaku sekitar pukul 3 petang menyebabkan ramai pengguna di seluruh negara tidak dapat mengakses khidmat suara dan data.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Celcom, masalah teknikal ini telah diselesaikan dan sebagai tanda penghargaan, penggunaan kuota data bagi pelanggan yang terjejas tidak akan dikurangkan dari pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam semalam.
Pelanggan penyedia perkhidmatan lain yang menggunakan rangkaian Celcom seperti XOX, Yoodo, redONE, ALTEL, serta pelanggan Unifi mobile di kawasan tanpa liputan 4G juga turut terjejas dan mungkin akan ditawarkan pemberian lain.
CFM sentiasa menyarankan pengguna untuk melaporkan aduan kepada Telco masing-masing dengan menyertakan maklumat terperinci mengenai masalah yang dihadapi.
Jika masalah tersebut masih tidak diselesaikan, laporkan kepada CFM melalui portal aduan bersepadu MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/ – MalaysiaGazette