Home Akhbar Cina DAP perlu mengelakkan pilihan raya masa ini

DAP perlu mengelakkan pilihan raya masa ini

DAP hari ini mengumumkan lima lagi calon yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.- Gambar hiasan.

SEREMBAN – DAP perlu mengelakkan Pilihan Raya Umum pada masa ini, tetapi harus memberi tumpuan untuk menstabilkan keadaan politik dan ekonomi negara.

Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, Pilihan Raya Sabah telah menyebabkan angka jangkitan COVID-19 meningkat dan data menunjukkan 80 peratus rakyat tidak berharap pilihan raya diumumkan pada masa ini.

“Jika kami bertegas (mahu adakan pilihan raya), maka kami akan ditolak dan dimarah pengundi.

“DAP harus mengenal pasti pendekatan untuk mengekalkan kestabilan politik Malaysia dan mengelakkan pilihan raya kilat,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily ketika merasmikan dialog anjuran parti itu di Seremban.

Siew Fook berkata, DAP merupakan parti yang mempunyai kerusi paling banyak dan parti itu mahu mengelakkan pilihan raya bukan kerana ia takut menghadapi kekalahan.

“Sebaliknya, kami takut keadaan wabak akan terus bertambah tenat. Kami harus menghormati suara rakyat dan pilihan raya tidak harus diadakan masa ini,” katanya.

Beliau juga menyeru semua wakil rakyat, ahli majlis tempatan sampai ke peringkat akar umbi untuk mengekalkan tahap sokongan pengundi kepada DAP.

Ketua DAP Negeri Sembilan itu juga berkata, MCA dan Gerakan yang merupakan lawan utama DAP sebelum ini telah kehilangan pengaruh dalam pilihan raya.

Katanya, nasib dua parti itu harus menjadi sempadan DAP.

“Jika parti lemah, maka tiada orang yang akan mahu membentuk pakatan dengan kami.

“Kami harus mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mendapat modal rundingan dan memperoleh pengaruh di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.