KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira menganggap kejayaan menjuarai saingan Liga Premier 2020 julung kalinya merupakan sesuatu yang luar biasa selepas tujuh tahun tanpa trofi.
Pulau Pinang mengesahkan kejuaraan tersebut selepas menang ke atas Kelantan United 4-0 pada Jumaat lalu di mana kejayaan itu adalah kemenangan kelapan pasukan itu pada musim ini selepas bermain 10 perlawanan.
Kekal dengan rekod bersih tanpa kalah, Pulau Pinang gah menghuni takhta liga dengan 26 mata untuk memastikan trofi Liga Premier menjadi milik mereka selepas sekian lamanya.
Justeru, Manzoor sangat berbesar hati dengan kejayaan tersebut sambil menyifatkan ia tidak akan berlaku tanpa kerja keras dan disiplin barisan pemain sepanjang musim 2020 biarpun terpaksa berdepan juga cabaran pandemik Covid-19.
“Pertama sekali, saya mengucapkan syukur dan tahniah kepada semua pemain, barisan kejurulatihan lain, bahagian pengurusan pasukan serta penyokong setia Pulau Pinang kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di tahap ini.
“Sebenarnya kami ada dua sasaran, untuk layak ke CIMB Liga Super 2021 dan seterusnya jadi juara Liga Premier, jadi semestinya ini adalah pencapaian luar biasa dan bonus terbaik untuk kami.
“Kami ada satu lagi perlawanan terakhir liga dan selepas itu, misi lebih besar untuk pasukan harungi saingan TM Piala Malaysia pula, jadi penting untuk pemain terus fokus selepas ini”, katanya.
Perlawanan terakhir liga akan menyaksikan Pulau Pinang bakal menentang Terengganu FC II, pada Jumaat ini.
Dalam pada itu, Kuching FA juga tidak menyangka mampu untuk bertahan sehingga ke tahap ini dengan empat kemenangan berturut-turut sekaligus mengesahkan slot ke TM Piala Malaysia 2020 selepas menang 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT II), semalam.
Bagi penolong jurulatihnya, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, sebagai pendatang baharu Liga Premier, pujian harus diberikan kepada semua pemain untuk bangkit dalam empat perlawanan terdahulu selepas berdepan kekalahan demi kekalahan pada awal musim.
“Saya sangat berbangga kerana pemain-pemain memang bekerja keras daripada segi pertahanan, serangan dan segala aspek untuk menang ke atas JDT II yang kita tahu memang kuat.
“Sememangnya kami mengimpikan kejayaan ini kerana sebagai pendatang baharu dalam liga, bukan mudah untuk pasukan dan ia satu pencapaian membanggakan di mana semua pemain dan pengurusan memainkan peranan.
“Misi ke TM Piala Malaysia juga sudah tercapai dan apa-apa pun, perlawanan terakhir liga menentang Kuala Lumpur, kami akan memberikan saingan hebat untuk cuba mendapatkan mata juga”, jelasnya.
Kedudukan liga ketika ini menyaksikan Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 21 mata selepas mereka seri tanpa jaringan menentang Perak II, Jumaat lalu manakala Terengganu FC II di tempat ketiga apabila menang 2-0 ke atas Sarawak United.
Keputusan lain pula menyaksikan Selangor 2 menang 2-1 ke atas UKM FC dan Kelantan pula seri 2-2 dengan pasukan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette