PUTRAJAYA – Pemilik kepada 17 kereta dan 50 motosikal di sini akan diberi tempoh sehingga dua bulan untuk mengalihkannya.
Jika tidak kenderaan yang tersadai di parkir kenderaan sebelum ditarik dan dialihkan ke Depoh Kenderaan Tersadai di Presint 20 sebelum dilupuskan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, ia bagi memastikan parkir kenderaan dapat digunakan secara optimum dan membantu meredakan masalah kekurangan parkir di kawasan kuaters kerajaan.
“Setelah dibuat semakan dengan pihak polis dan JPJ, tindakan akan diambil oleh bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk menarik keluar kenderaan terlibat.
“Kemudian kenderaan ini akan dibawa ke Depoh Kenderaan Tersadai di Presint 20 dalam tempoh enam bulan sebelum dilupuskan,” katanya kepada pemberita dalam operasi bersepadu Ops Alih di kuarters kerajaan Fasa 4C, Presint 8 hari ini.
Hadir sama Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri, Rahimi Ismail.
Dalam operasi yang dilancarkan hari ini, sebanyak dua kereta telah dialihkan penguat kuasa PPj untuk dibawa ke Depoh Kenderaan Tersadai PPj di Presint 20.
Lebih mengejutkan dedah Mohd Sallehhuddin terdapat kenderaan yang diletakkan di parkir kuaters kerajaan di sini dan tersadai lebih tiga tahun.
“Hari ini ada kenderaan yang tersadai hingga tiga tahun di sini dan ini telah memberikan satu masalah kepada penduduk setempat sebab parkirtelah diambil.
“Apa yang kita kesali adalah dua kenderaan yang ditarik hari ini sebenarnya tidak mendiami kuaters kerajaan di sini sama ada saudara mara atau menggunakan nama orang lain
“Kita nak maklumkan kepada semua warga Putrajaya supaya lebih bertanggungjawab dan tidak meletakkan kenderaan sehingga tersadai begitu lama dengan menimbulkan pelbagai masalah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PPj, Mohd Ali Jusoh pula berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 80 kenderaan tekah dilupuskan pihaknya.
“Yang kita sudah lupuskan dalam 80 kereta sejak awal tahun ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kira-kira 80 kereta yang dilupuskan itu adalah data tahun lepas, manakala sepanjang 2017 dan 2018 pula sebanyak 250 kereta di seluruh kawasan Putrajaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette