Home Ekonomi UEM cadang penggabungan UEM Sunrise, Eco World

UEM cadang penggabungan UEM Sunrise, Eco World

KUALA LUMPUR – UEM Group Berhad (UEM) mengesahkan telah mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pengarah UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Eco World Development Group Berhad (Eco World) bagi mempertimbang potensi penggabungan antara kedua-dua syarikat tersebut.

Jika cadangan ini berjaya, UEM akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini dengan pemilikan ekuiti sebanyak 43.0%,

Penggabungan UEM Sunrise dan Eco World akan membentuk satu entiti pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, yang memiliki kepakaran merentasi pelbagai tawaran produk dengan keupayaan kukuh dalam setiap segmen industri hartanah bagi meneruskan penciptaan nilai dan pertumbuhan dalam jangka masa panjang.

UEM Sunrise adalah anak syarikat UEM yang dimiliki 100% oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

UEM yang memiliki 66.1% pegangan di dalam UEM Sunrise berkata, ia telah menerokai kemungkinan penggabungan antara UEM Sunrise dengan beberapa syarikat pembangunan hartanah lain.

Namun, setelah diperhalusi, potensi penggabungan dengan Eco World dinilai sebagai cadangan yang memiliki manfaat paling besar, yang mana Eco World merupakan rakan perniagaan paling sesuai yang memiliki keupayaan yang diperlukan bagi membantu menambahbaik UEM Sunrise menerusi kelebihan geografi yang saling melengkapi dan penambahbaikan adunan produk yang mampu ditawarkan.

Menurut UEM, cadangan penggabungan ini merupakan peluang bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dengan unjuran nilai pembangunan kasar berjumlah RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ekar dalam negara.

”Mengambilkira situasi makro-ekonomi mencabar yang dikeruhkan lagi dengan wabak pandemik Covid-19, wujudnya keperluan mendesak bagi syarikat pembangunan hartanah tempatan untuk menambahbaik keutuhan perniagaan masing-masing menerusi perkongsian sumber dan keupayaan bagi memperkukuhkan prestasi serta kelestarian perniagaan mereka dalam jangka masa panjang.

”UEM percaya konsolidasi industri akan membawa manfaat kepada semua para pemegang saham,” katanya di sini.

UEM menambah, Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat akan menilai secara berasingan berkenaan manfaat cadangan ini dan mengambil keputusan sama ada untuk meneruskan perbincangan selanjutnya.

Katanya, seandainya kesemua pihak bersetuju dengan cadangan penggabungan ini, ia akan menjadikan UEM Sunrise sebagai entiti yang lebih besar, yang mana ia akan mengeluarkan saham dan waran baharu sebagai pertukaran bagi saham dan waran milik Eco World.

UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia.

Pemegang saham Eco World akan memiliki 24.2% kepentingan ekuiti jika penggabungan itu berjaya.

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan atau GLIC secara bersama akan memiliki pegangan ekuiti melebihi 50%

Lembaga Pengarah dan pengurusan UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini akan diterajui oleh pengerusi yang merupakan ahli Lembaga Pengarah UEM Sunrise ketika ini.

Tambahnya, satu Jawatankuasa Integrasi akan ditubuhkan melibatkan wakil-wakil dari UEM Sunrise dan Eco World, yang akan dipengerusikan bersama oleh pengerusi dari kedua-dua syarikat.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk membincangkan hal-hal berkaitan integrasi termasuklah komposisi ahli Lembaga Pengarah dan pasukan
pengurusan utama.

Apapun, katanya, cadangan penggabungan ini adalah tertakluk kepada perbincangan oleh Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat dan sehinggalah mereka memaklumkan kesediaan untuk membawa perbincangan ini ke peringkat seterusnya.

”Tidak ada jaminan bahawa cadangan penggabungan ini akan menghasilkan sebarang perjanjian atau obligasi yang mengikat antara kedua-dua syarikat.
”Seandainya mereka kemudiannya bersetuju untuk memeterai sebarang perjanjian, transaksi ini akan tertakluk kepada, antara lain, persetujuan daripada para
pemegang saham dan badan pengawalselia,” ujar UEM. – MalaysiaGazette