KUALA TERENGGANU – Wisma Darul Iman ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat kakitangan di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mohd Zahari Md Azahar berkata semua kakitangan kerajaan negeri dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan di keseluruhan bangunan berkenaan.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang urusan penting dengan jabatan kerajaan di Wisma Darul Iman perlu menghubungi kakitangan berkaitan untuk maklumat lanjut kerana kita mahu proses disinfeksi berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Semua kakitangan mestilah berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh bekerja dari rumah ini dan dikehendaki kembali bertugas seperti biasa mulai Ahad ini (11 Okt),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Permata yang beroperasi di Wisma Darul Iman turut ditutup sementara selama tiga hari.
“Ia melibatkan kira-kira 60 kanak-kanak yang ibu bapa mereka sebagai kakitangan di Wisma Darul Iman,” katanya.
— BERNAMA