Home Nasional Buat pusingan U punca kemalangan, polis kenal pasti pemandu Myvi

Buat pusingan U punca kemalangan, polis kenal pasti pemandu Myvi

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu kereta yang melakukan pusingan u secara mengejut punca kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal bersama pembonceng di Bandar Tun Hussein Onn dekat sini baru-baru ini.

Selepas kejadian, pemandu kereta Myvi itu cuba melarikan diriĀ  namun kejadian itu tular menerusi rakaman video dalam media sosial.

Bertindak atas aduan mangsa, polis berjaya mengenalpasti identiti pemandu itu dan usaha mengesan saspek telah dipergiatkan polis, kata Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan hari ini.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 5 Oktober lalu jam lebih kurang 5.30 petang di Bandar Tun Hussein Onn, Balakong dan tiada laporan kemalangan dibuat oleh kedua-dua pihak pada hari kejadian.

“Bagaimanapun pada 6 Oktober lalu (semalam) jam lebih kurang 5.16 petang penunggang motosikal yang merupakan mangsa kejadian langgar lari itu datang membuat laporan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, semasa kejadian, motosikal mangsa datang dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn melalui Jalan Suadamai.

Menurutnya, selepas sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Myvi telah membuat pusingan U di simpang jalan itu secara tiba-tiba sebelum telah dilanggar oleh mangsa yang menunggang motosikal yang sedang bergerak lurus di jalan yang sama.

“Mangsa pembonceng motosikal mendapat kecederaan dalaman dan dirawat di Hospital Kajang manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu kereta itu telah dikenalpasti dan usaha untuk mengesan sedang dijalankan.

“Siasatan mendapati kecuaian berpunca dari kecuian pemandu kereta itu yang membuat pusingan U tanpa berhenti dan melihat kehadiran kenderaan lain sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 dan saksi kejadian diminta tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Dinesh untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan.- MalaysiaGazette