Home Ekonomi Celcom gantung peniaga tidak patuhi pengesahan pendaftaran kad SIM prabayar

Celcom gantung peniaga tidak patuhi pengesahan pendaftaran kad SIM prabayar

KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Bhd menggantung peniaga yang gagal melakukan pengesahan pengenalan bagi pendaftaran kad SIM prabayar baharu pada 2019.

“Celcom mengambil tindakan serta merta menggantung peniaga yang bertanggungjawab dan akan melakukan penyiasatan selanjutnya berhubung salah laku mereka itu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM700,000 terhadap enam syarikat telekomunikasi kerana mendaftarkan kad SIM prabayar tanpa mengesahkan maklumat pengguna pada tahun lepas.

Syarikat terbabit ialah Celcom, Maxis, Tone Plus, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications.

Celcom berkata bagi mematuhi standard dan peraturan MCMC, syarikat itu mengamalkan peraturan kendiri dan mengawal sendiri secara berkala lebih 10,000 peniaga pihak ketiga di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan keseluruhan standard amalan.

“Celcom melihat perkara ini dengan serius dan berusaha untuk mendukung peraturan, dasar dan garis panduan yang ditetapkan oleh MCMC bagi pendaftaran SIM prabayar,” kata syarikat itu.  – MalaysiaGazette