Home Nasional Dua peringkat penyelesaian masalah PPAM Melinjau – PPj

Dua peringkat penyelesaian masalah PPAM Melinjau – PPj

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan masalah yang dialami oleh penghuni Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini akan diatasi secepat mungkin.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi jaminan isu Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya yang berlarutan sejak 2016 akan diselesaikan dalam masa terdekat.

PPj dalam satu kenyataannya, bagaimanapun pihaknya perlu mengenalpasti serta menyenaraikan kerosakan yang terlibat dalam tempoh seminggu.

“Selepas itu PPj akan mengaturkan perbincangan bersama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemaju iaitu Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd untuk perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan,” katanya PPj dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain memberi jaminan masalah prasarana PPAM Melinjau akan dapat diselesaikan.

Menurut Muhammad Azmi, pembaikan semula bangunan yang didiami lebih 600 pemilik unit hanya akan dapat dimulakan selepas pihak terlibat mendapat senarai kerosakan yang berlaku selain menentukan anggaran kos yang akan digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan semula.

PPj juga membahagikan isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Penduduk PPAM Melinjau kepada tiga kategori iaitu struktur binaan bangunan, kawasan gunasama (common area) dan unit kediaman individu.

“Bagi kategori struktur binaan, PPj telah meminta kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat pemeriksaan dan pengesahan struktur bangunan tersebut.

“Untuk kawasan gunasama pula, PPj bersama Persatuan Penduduk Melinjau akan mengenalpasti serta menyenaraikan kerosakan yang terlibat dalam tempoh seminggu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Bagi kerja-kerja pembaikan kerosakan kecil, kerja-kerja akan dilaksanakan pada kadar segera oleh pihak pemaju.

“Kategori ketiga yang melibatkan kecacatan atau kerosakan di unit-unit kediaman individu, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak pemaju berdasarkan senarai aduan kecacatan atau kerosakan yang dikemukakan oleh pemilik-pemilik unit kediaman,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette