KUALA LUMPUR– Melaka mewajibkan semua individu yang baru pulang dari kawasan berisiko tinggi Covid-19 seperti Sabah dan Kedah menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, individu-individu tersebut juga perlu mematuhi setiap arahan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Tegasnya, kegagalan mematuhi segala arahan dan peraturan ditetapkan mengakibatkan penularan wabak dalam kalangan masyarakat.
“Kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan sentiasa mengamalkan amalan normal baharu ini yang mampu memutuskan penularan rantaian Covid-19.
“Kerajaan negeri memandang serius penularan dan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sulaiman, semua pihak harus berganding bahu untuk memutuskan rantaian virus Covid-19 bagi memastikan sektor pelancongan domestik serta sektor ekonomi dan sosial dapat terus beroperasi tanpa diganggu oleh penularan wabak.
Katanya, langkah itu penting kerana sektor pelancongan menjadi nadi utama Melaka dan beliau berharap kedatangan pelancong dapat terus menjana ekonomi negeri.
Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof dilaporkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah dan mengalami gejala demam.- MalaysiaGazette
hahahaha kalau melalui udara boleh lah saring apa kata melalui jalan darat..