KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini sememangnya sesuatu yang menakutkan rakyat di negara ini.
Malah laporan kematian termasuk kematian seorang bayi berusia satu tahun pasti mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat dan ramai mahu kembali kepada situasi awal-awal sebelum ini di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan.
Rata-rata berpendapat, sudah tiba masanya pemimpin politik berhenti menuding jari sebaliknya bersama-sama mengekang penularan pandemik global itu daripada terus mencatatkan angka-angka mengerikan.
Itu luahan Presiden Presiden Parti Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih berhubung peningkatan kes positif serta apa yang sedang berlaku.
Kata Shanmugam, kerajaan seharusnya kerajaan kembali tegas dan lebih berhati-hati kerana kes sudah meningkat dan sudah menunjukan tanda-tanda ia tidak akan pulih dengan sekelip mata.
“Walaupun telah membuat keputusan tidak melaksanakan PKP seluruh negara atas pelbagai faktor mungkin ada baiknya kerajaan menimbangkan cadangan supaya institusi pendidikan ditutup ketika ini.
“Dari taska, tadika, sekolah, universiti kolej semuanya mungkin boleh ditutup untuk beberapa minggu sehingga redanya keadaan peningkatan positif. Ini bukanlah sesuatu yang kita boleh main sebenarnya.
“Sebaliknya, kaedah belajar dalam talian pengajaran dan pembelajaran boleh terus berlangsung melepasi sempadan kelas atau bilik kuliah.
“Pembelajaran melalui alam maya pada waktu ini yang menjadi satu-satunya langkah selamat, pada mulanya dilihat sedikit mencabar dan kekok berbanding secara bersemuka.
“Janganlah kita ambil risiko terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak, jangan lupa semalam kita sudah ada kes bayi meninggal. Mereka ini golongan vulnerabel yang perlukan perhatian jadi tolonglah ambil serius cadangan ini. Sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Kata Shanmugam lagi, beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memantau lebih serius serta melarang perhimpunan secara besar-besaran selepas ini.
“Memang sudah tiba masanya, kita perlu berkorban. Perlu ada kerjasama bukan sahaja kerajaan sebaliknya rakyat kita sendiri. Marilah kita berhenti berhimpun di majlis mahupun bersesak-sesak sana sini. Ini satu keperluan terdesak.
“Kerajaan juga boleh pertimbang tidak memberi kebenaran kepada sesiapa keluar masuk negara serta negeri ketika ini, ini juga antara sebab mengapa kes meningkat juga. Mungkin tidak bertimbang rasa tetapi jika di fikirkan untuk keseluruhan rakyat, mungkin ini yang terbaik sehingga kes reda,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu Shanmugam berkata, ini bukanlah masa terbaik untuk pemimpin politik bertelagah siapa betul dan siapa salah sebaliknya perlu bermuhasabah diri.
“Jangan gunakan Covid-19 untuk raih sokongan dan agenda politik anda. Ini bukanlah masanya, ini bukan waktu tuding jari. Cukuplah, fikirlah dan utamakan rakyat juga pada masa ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette