Home Ekonomi UOB, Standard Chartered tetap harga MTN RM250 juta untuk Mercedes-Benz Services

UOB, Standard Chartered tetap harga MTN RM250 juta untuk Mercedes-Benz Services

Ng Wei Wei

KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Standard Chartered Malaysia) berjaya menetapkan harga untuk tawaran Nota Jangka Sederhana (MTN) bernilai RM250 juta yang akan diurus bersama untuk Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM).

Terbitan MTN itu diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Berhad, akan matang pada September 2023, dihargakan pada kadar kupon tetap 2.70 peratus setahun.

Tawaran ini ditutup dengan kupon terendah yang dicapai pada tahun ini untuk kertas bertaraf AAA dalam denominasi ringgit
bertempoh tiga tahun. MBSM akan menggunakan dana untuk tujuan korporat amnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, terbitan itu tepat pada masanya kerana ia membolehkan MBSM mempelbagaikan pembiayaan syarikat di samping mengambil kesempatan daripada persekitaran kadar faedah yang rendah pada masa ini.

Ketua Perlindungan Pelanggan Perbankan Korporat, Komersial dan Institusi, Standard Chartered Malaysia Mak Joon Nien pula berkata, transaksi itu menyaksikan penetapan harga MBSM pada kadar kupon terendah sehingga kini di pasaran Malaysia berikutan pengurusan keperluan kecairan yang proaktif oleh syarikat.

MBSM adalah anak syarikat Daimler AG, antara kumpulan syarikat automotif yang utama di dunia.

Bersama dengan bahagian Mercedes-Benz Cars & Vans, Daimler Trucks & Buses dan Daimler Mobility, kumpulan ini adalah salah satu pembekal global terkemuka untuk kereta premium dan antara pengeluar kenderaan komersial yang terkenal di dunia.

Sementara itu, Philipp Zuehlke, Ketua Pegawai Kewangan, MBSM berkata, transaksi MTN keempat MBSM ini menandakan keyakinan dan sokongan teguh Daimler AG terhadap pasaran hutang domestik.

Transaksi ini adalah sebahagian daripada program penawaran hutang MBSM bernilai RM3 bilion yang dilancarkan pada Mei 2018. – MalaysiaGazette