Home Nasional 259 kawasan di Selangor sudah terima bekalan air – Air Selangor

259 kawasan di Selangor sudah terima bekalan air – Air Selangor

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan bekalan air dari semasa ke semasa.

KUALA LUMPUR – Langkah pemulihan bekalan air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya mencapai tahap 95 peratus secara keseluruhan setakat pukul 1 tengahari tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, sebanyak 259 daripada 274 kawasan sudah menerima bekalan air.

“Jika berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah, Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya, Hulu Langat (95 peratus), Petaling (90 peratus) dan Kuala Langat (86 peratus). Sebanyak 15 kawasan lagi dalam proses pemulihan,” katanya di laman sosial itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata, bekalan air di semua 274 kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga pukul 6 petang pada Jumaat.

Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan yang akan menerima bekalan air sepenuhnya, menjelang jam 6 petang hari ini.

Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan pada pukul 6 petang Khamis, manakala, kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan menerima bekalan air sepenuhnya pada pukul 6 petang, Jumaat.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi henti tugas.

Pengguna terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan jadual pemulihan. – MalaysiaGazette