Home Utama “Apa masalahnya baju oren?” – Azam

“Apa masalahnya baju oren?” – Azam

Lima individu termasuk seorang berpangkat Datuk telah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tahanan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menghentikan polemik berhubung pemakaian ‘baju oren’ kepada Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pemakaian baju oren adalah untuk membezakan individu sama ada OKT ataupun orang awam.

Menurutnya, pemakaian baju oren terhadap OKT merupakan satu polisi yang dibuat oleh SPRM untuk memudahkan tugas namun, tetap mengikut peraturan.

“Saya nak bertanya juga kepada yang bertanya. Apa masalahnya baju oren ini. Jabatan polis juga pakai baju ungu. Tak ada pun isu.

“Kalau tak cakap baju oren menggari pun, polis gari orang, tapi bila SPRM pakaikan baju oren atau menggari, timbul pula isu.

“Perkara-perkara sebegini pada saya tak sepatutnya menjadi satu polemik. Kami menjalankan tugas dengan telus dan berkesan,” katanya dalam wawancara melalui macc.fm.

Mengulas lanjut Azam berkata, individu yang ditahan dan dimasukkan ke lokap SPRM perlu memakai baju berwarna oren bagi menunjukkan mereka adalah tahanan selain mengelak risiko OKT itu daripada hilang atau melarikan diri.

Bagaimanapun, jika OKT itu dibawa ke mahkamah pula, pemakaian baju oren adalah bergantung kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dengan melihat faktor-faktor tertentu termasuk keperluan untuk memakaikan baju itu kepada OKT SPRM.

Jelasnya, ia mungkin melibatkan faktor keselamatan atau bagi mengelak berlakunya kekeliruan antara OKT bagi kes yang dikendalikan oleh pihak polis dengan OKT yang disiasat oleh agensi penguatkuasaan undang-undang itu.

“Kalau saya nak fikirkan satu juta pendapat boleh ke tak boleh, susah saya nak jawab.

“Jadi, kami diberikan kuasa dan amanah dan saya rasa cara terbaik saya ambil jalan tengahlah memenuhi pihak yang diluar sana yang bercakap tentang human right dan sebagainya.

“Saya rasa human right, human right juga tapi kamu kena fikir sama hak orang ramai. Bagi kami yang menjalankan tugas ini perlu difikirkan juga. Mereka mahu kami menjalankan tugas dengan baik dan berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette