KUALA LUMPUR – Lebih banyak syarikat tersenarai mengguna pakai amalan terbaik seperti yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada tahun 2019, berbanding pada tahun sebelumnya.
Ketika mengumumkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor 2020) tahunannya hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan peningkatan dalam pemakaian tersebut adalah amalan Yang Dipertingkatkan, proses pengundian dua peringkat dan amalan lembaga pengarah untuk menentukan imbuhan pengarah dan pengurusan kanan.
CG Monitor 2020 menampilkan pemerhatian terhadap tiga semakan tematik mengenai penerimaan resolusi dua peringkat, imbuhan lembaga pengarah syarikat tersenarai di Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 (FBM 100) dan pengendalian mesyuarat agung secara maya sepenuhnya oleh syarikat tersenarai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan terhadap imbuhan lembaga pengarah menunjukkan jumlah imbuhan lembaga pengarah bagi tahun 2019 telah berkurangan sebanyak 11.7% berbanding tahun 2018.
Imbuhan para pengarah eksekutif juga berkurangan sebanyak 14.5% manakala imbuhan pengarah bukan eksekutif meningkat sebanyak 6.2% pada tahun 2019.
Walaupun pemakaian proses pengundian dua peringkat untuk mengekalkan pengarah yang sudah lama berkhidmat telah meningkat, masih ada sebilangan besar pengarah bebas yang telah berkhidmat antara 20 hingga 40 tahun. SC memerhatikan bahawa penglibatan pemegang saham bukan besar dalam pengundian Tahap 2 masih rendah.
Secara purata, hanya 40% pemegang saham bukan besar membuat pengundian mereka.
Walaupun proses pengundian dua peringkat tidak wajib, SC amat menggalakkan para pemegang saham untuk mengguna pakai amalan ini untuk mengukuhkan pelantikan semula pengarah bebas yang telah berkhidmat lama.
Begitu juga pemegang saham bukan besar hendaklah bangkit dan melaksanakan hak mereka dalam menentukan pelanjutan tempoh perkhidmatan pengarah-pengarah ini.
Pada 31 Ogos 2020, kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 24.82% (2018: 23.68%) dalam 100 syarikat tersenarai teratas dan 16.96% (2018: 15.69%) dalam semua syarikat tersenarai.
Ketika ini, terdapat lima syarikat dengan semua lembaga pengarahnya adalah lelaki dalam 100 syarikat tersenarai teratas, iaitu Comfort Glove Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Frontken Corporation Bhd, Guan Chong Bhd, dan Pentamaster Corporation Bhd.
SC berkata, ia berpuas hati memerhatikan bahawa syarikat-syarikat yang lebih kecil telah mengguna pakai pendekatan yang lebih telus berhubung penzahiran imbuhan bagi pihak pengurusan kanan berasaskan nama.
Syarikat yang baru mengguna pakai amalan terbaik tersebut termasuk Ajinomoto Malaysia, Fibon Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, Sunway Bhd dan Top Glove Bhd. – MalaysiaGazette