KEPIMPINAN yang berwibawa merujuk kepada kepimpinan negara khususnya, yang mendapat kepercayaan atau mandat rakyat, berprestasi tinggi, berkebolehan dengan sifat-sifat amanah, berintegriti, bertanggungjawab, mampu mentadbir negara dengan cekap dan berkesan berlandaskan perlembagaan.
Allah SWT telah merakamkan kisah anak perempuan Nabi Shuib, dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud;
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
Ayat ini menjelaskan dua ciri penting iaitu ‘quwwah wal amanah’ yang mana dalam konteks hari ini, kita terjemahkannya sebagai kompetensi dan integriti bagi menentukan kepimpinan yang berwibawa. Selain Covid-19, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang saya kira amat dasyat sejak kemerdekaan. Ciri-ciri kewibawaan telah hilang dalam kalangan kepimpinan negara. Amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa telah sampai ke tahap tragedi di peringkat nasional. Wang suapan bukan lagi diberi secara ‘under table’ tetapi secara terbuka tanpa rasa malu dan segan silu. ‘Cash is king’ katanya.
Ironinya, yang korup itu pula diangkat menjadi penasihat untuk membenteras pelakuan rasuah. Mungkinkah kerana kita perlu pencuri untuk menangkap pencuri? Virus ini sukar dibendung selagi kita ada pemimpin yang gila kuasa dan harta. Ada harga
yang boleh dibeli dan boleh tawar menawar. Ia tiada vaksin kecuali rakyat berusaha membetulkan kompas moral kepimpinan negara. Kembalilah kepada jalan Allah dengan sebenar-benarnya.
Apakah maruah rakyat Malaysia telah benar-benar terhakis sehingga sedemikian rupa? Tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk? Adakah budaya rasuah dan penyalah gunaan kuasa sudah menjadi sebahagian daripada norma baru dalam kehidupan rakyat Malaysia?
Berbicara tentang rasuah, kita sering mendengar ungkapan masyarakat; “Yang bilis-bilis selalu je kena tangkap. Yang jerung terlepas, bebas” Hakikatnya, ia bermula daripada yang kecil. Bukannya bilis atau jerung yang menjadi ukuran tetapi rasuah itu perlu dibenteras habis-habisan dari akarnya. Menurut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam program Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia yang diadakan pada 30 September, baru-baru
ini, bilis atau jerung, kecil atau besar ini, ia sebenarnya bergantung kepada impak.
“Mungkin perbuatan itu kecil, sebagai contoh di sempadan, seorang penguatkuasa membenarkan orang daripada negara luar masuk, dalam keadaan Covid-19 sekarang ini. Katakan dia (penguatkuasa itu) dapat duit apabila orang itu dibenarkan masuk. Namun orang itu mempunyai penyakit Covid-19 dan masuk secara illegal (haram). Tentu kesan daripada itu cukup besar, jika perkara ini tidak diatasi. Masuknya orang itu
dengan cara tidak berdaftar, dan tentunya nak ke hospital pun orang itu tidak boleh diterima.
Hari ini juga kita melihat amalan penguatkuasaan dua darjat. Amalan yang jauh berbeza dengan apa yang diajar oleh Ar Rasul SAW kepada kita. Pemimpin merasakan hak mereka untuk diberi pegecualian daripada mematuhi undang-undang? Hanya kerana mereka berjawatan Menteri? Dimana kompas moral mereka?
Hinggakan rakyat Malaysia menanggung derita akibat daripada ketidakpatuhan itu. Sama seperti tindakan penguatkuasa yang membenarkan orang daripada negara luar masuk, dalam keadaan Covid-19 kerana berkompromi dengan ‘suapan kecil’ yang diberikan.
Selain integriti, kompetensi dalam mentadbir negara dengan cekap dan berkesan serta keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat, teratur dan betul juga sering menjadi masalah. Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis akibat keputusan yang dibuat oleh pemimpin yang tiada kompeten dan bukan pakar bidang dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Tambahan pula syarikat-syarikat kerajaan juga kini terus diterajui oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang yang diperlukan itu. Hakikatnya, bukankah yang ‘fit and proper’ yang
sangat diperlukan?
Meletakkan pemimpin yang tidak berwibawa mengundang kepada kehancuran dan kemusnahan, ketamadunan sesebuah negara. Jika sesebuah syarikat boleh jatuh bangkrap disebabkan pemimpin yang tidak berwibawa, tidak mustahil, sesebuah negara juga berhadapan dengan risiko yang sama. Malahan, lebih tinggi lagi apabila ia melibatkan rakyat keseluruhannya. Kegagalan pemerintah atau pemimpin negara membendung gejala rasuah ini boleh menyebabkan sesebuah negara tergadai akhirnya, serta mungkin dijajah kembali oleh kuasa-kuasa tertentu kerana maruah negara sudah boleh dibeli. Allah SWT dengan jelas menetapkan kedua-dua ciri qawiy (kompetensi) dan amanah
(integriti) seiring, dalam memacu kepimpinan kini dan di masa akan datang. Perkara seperti ini perlu dipandang serius, apakah kesan yang akan terjadi selepasnya. Sebagaimana Allah kisahkan dalam Al-Quran berkaitan anak perempuan Nabi Shuib, dalam
surah al-Qasas ayat 26 tersebut.
Oleh: Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia