KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terus merayu agar masyarakat duduk di rumah dan hanya keluar jika terdapat urusan penting sahaja.
Dalam sidang media hari ini, beliau berkali-kali mengulangi rayuan itu supaya orang ramai membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang kini sedang menular di dalam komuniti.
Jelas beliau, bagi yang keluar dari rumah, mereka perlu mengelak kawasan yang sesak dan sempit serta tidak bersembang dalam jarak yang dekat.
“Terus amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai alat pelitup muka di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos lalu.
“Jika bergejala dapat rawatan segera dan elak bersalaman atau bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam.
“Orang ramai perlu mengamalkan etika batuk dan bersin kerana melalui bukti-bukti, virus Covid-19 berjangkit daripada titisan cecair saluran pernafasan,” katanya pada sidang media secara langsung dari kediamannya di sini hari ini.
Noor Hisham kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu.
Mesyuarat itu telah dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di salah sebuah hospital di Negeri Sembilan.
Susulan keputusan itu, semua individu yang hadir dalam mesyuarat berkenaan, termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalani kuarantin wajib. – MalaysiaGazette