Home Seni Hidup Farred Zane jadi tumpuan selepas Sunyi

Farred Zane jadi tumpuan selepas Sunyi

Farred Zane mula mencuri tumpuan peminat sunyi menerusi lagu Sunyi.

KUALA LUMPUR – Pasti ramai yang sudah mendengar lagu Sunyi yang merupakan runut bunyi atau OST (original sound track) bagi telefilem Kasih Tau Foo Fah arahan Raja Mukhriz yang ditayangkan di saluran TV3 sejak 19 September lalu.

Selepas telefilem itu selesai, ramai yang sibuk mencari siapakah penyanyi lagu Sunyi kerana lagu itu amat menyentuh hati tatkala mendengarnya.

Siapa sangka, lagu Sunyi yang berentak pop balada itu membawa tuah kepada penyanyi Farred Zane. Dia bukan setakat menyanyi, malah turut mencipta dan menulis lirik untuk lagu yang dihasilkannya pada 2019.

Farred Zane atau nama sebenarnya Mohd. Farid Mohd. Zin, 30, yang berasal dari Machang, Kelantan tidak menyangka lagu tersebut menjadi pilihan pengarah ternama iaitu Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi drama arahannya.

“Sebenarnya, lagu Sunyi berkisar tentang seorang budak yang kesunyian sejak kecil hingga dewasa. Dia sunyi disebabkan kehilangan emak dan ayah sejak kecil dan hidup sebatang kara.

“Sewaktu pihak Saudagar Seni memperdengarkan lagu tersebut kepada Raja Mukhriz, pengarah itu terus bersetuju untuk menjadikan Sunyi sebagai OST telefilem Kasih Tau Foo Fah. Raja Mukhriz kata, lagu itu sesuai dengan jalan cerita tersebut. Dia juga kata lagu itu ada roh dan bila diputarkan di set penggambaran, ada pelakon yang menangis bila dengar lagu tersebut. Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya.”

“Saya cipta lagu ini dan bawa ke studio rakaman Alfa, Rumi Booty dan Daqmie. Lagu ini saya cipta berdasarkan kisah kehidupan anak-anak kecil di Palestin yang kehilangan ibu bapa pada usia muda lagi. Kisah sedih mereka itu memberi idea pada saya untuk cipta lagu Sunyi,” ceritanya yang merupakan artis naungan Saudagar Seni.

Tambah Farred, lagu Sunyi mudah melekat di hati pendengar kerana ia berkisar tentang kemanusiaan. Malah susunan muzik lagu tersebut telah dicantikkan lagi oleh mereka yang tidak asing lagi dalam bidang muzik. Alfa, Rumy dan Daqmie memberikan tunjuk ajar yang sangat bermakna dalam memberikan haluan yang jelas untuk lagu ini.

Lagu Sunyi nyanyian Farred Zane merupakan runut bunyi atau OST (original sound track) bagi telefilem Kasih Tau Foo Fahyang ditayangkan di saluran TV3 sejak 19 September lalu.

Biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyekat sesi promosi lagu ini pada awalnya tetapi pasti ada hikmah disebalik semua itu. Terbukti ianya benar apabila disunting pula untuk dijadikan lagu runut bunyi. Selain itu, muzik video dapat disiapkan dan boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media sejak 17 September lalu.

Selain lagunya dipilih untuk runut bunyi telefilem tersebut, Farred juga diberi peluang berlakon dalam Kasih Tau Foo Fah sebagai seorang pemandu. Jelasnya, sewaktu pergi ke lokasi penggambaran di Melaka, isteri Raja Mukhriz, pelakon Sharifah Shahora tidak tahu bahawa beliau adalah penyanyi lagu Sunyi.

“Bila kak Sharifah Shahora jumpa saya, dia kata saya tak sesuai bawa watak gangster dan diberi peranan pemandu. Sebenarnya kemunculan saya dalam telefilem tersebut adalah untuk mempromosi lagu Sunyi. Gugup juga bila berlakon kerana ini pengalaman pertama berlakon dengan pelakon-pelakon hebat”

“Untuk video muzik Sunyi, selain footage drama Kasih Tau Foo Fah, saya turut menjalani penggambaran di sekitar bandaraya Melaka. Alhamdulillah sejak dimuat naik dalam YouTube jumlah tontonan semakin baik tetapi yang paling menyentuh hati apabila komen-komen positif daripada peminat” katanya penuh kesyukuran.

Malah selepas muncul dalam telefilem yang meruntun hati ramai penonton itu, Farred tidak keberatan jika di masa akan datang ditawar berlakon. Dia yang meminati Anuar Zain itu turut berkata, jika ada penyanyi yang inginkan karya ciptaannya, beliau sedia untuk bekerjasama.

“Saya bersedia memberikan karya saya pada mereka yang berminat kerana saya ada koleksi lagu yang sudah siap. Lagu-lagu ciptaan saya selain kemanusiaan, ada juga berkisar tentang cinta tapi lebih bersifat umum dan sesuai untuk semua lapisan usia,” katanya yang pernah mengikuti kelas vokal selama dua tahun di bawah bimbingan Cikgu Siti Hajar.

Malah pemilik Diploma Seni Kulinari dari Management & Science University), Shah Alam itu juga pernah menganggotai kumpulan Damai & Friends dan sempat menghasilkan album berjudul Satu Kalimah dan tercalon untuk AIM (Anugerah Industri Muzik) 2014.

Farred yang juga seorang cef dan pemilik syarikat Event Management Catering & Wedding Planner di Rawang, Selangor itu pernah muncul sebagai juara untuk program Sri Murni Dapur Duet bersama Khai Bahar pada 2019. – MalaysiaGazette