KUALA LUMPUR – Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tidak akan diturunkan lagi meskipun terdapatnya peningkatan secara mendadak jangkitan COVID-19 di dalam negara.
Justeru itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata unjuran pertumbuhan 2020 akan kekal antara -5.5 peratus dan -3.5 peratus.
“Gelombang kedua sangat tertumpu dan lebih daripada 60 peratus adalah terkawal. Kami tidak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi, semua aktiviti perniagaan dibenarkan untuk terus berjalan,“ kata beliau dalam temu bual yang di stesen radio BFM hari ini.
Tetapi pada tahun 2021, beliau berkata ekonomi akan kembali meningkat dan pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka pada sekitar 5.5 peratus hingga 8.0 peratus — unjuran yang seiring dengan ramalan KDNK yang lebih kukuh oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan yang akan berakhir tahun ini, dan akan terus meninjau pelbagai cara untuk melindungi kehidupan rakyat dan menumpukan perhatian kepada momentum pemulihan dalam Belanjawan 2021 akan datang.
“Sudah tentulah, penting untuk kita membina daya ketahanan bagi memastikan Malaysia boleh menahan kejutan ekonomi masa depan,” tambah beliau.
Menyentuh mengenai pertumbuhan pinjaman bank, ia dijangka pulih tahun depan sejajar dengan pertumbuhan KDNK yang positif, kata menteri kewangan itu.
“Pinjaman bank amat berhubung kait dengan KDNK. Pertumbuhan KDNK telah merosot pada suku kedua kepada penguncupan 17 peratus, tetapi saya menjangkakan ia akan bangkit semula pada separuh kedua tahun ini, terutamanya dalam suku keempat,” kata beliau.
Tengku Zafrul turut melahirkan harapan agar ekonomi negara akan kembali kepada tahap sebelum kemunculan COVID-19 pada 2021.
“Tahun hadapan akan menjadi tahun peralihan bagi kita. Kita boleh kembali kepada tahap KDNK 2019 pada 2021,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa unjuran itu adalah seiring dengan sasaran industri perbankan untuk pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi tahun depan, dipacu terutamanya oleh segmen utama seperti gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana dan perbankan komersil. – MalaysiaGazette