Home Sukan Ibrahimovic positif lagi Covid-19 kali kedua

Ibrahimovic positif lagi Covid-19 kali kedua

Zlatan Ibrahimovic

MILAN – Penyerang prolifik, Zlatan Ibrahimovic bakal terlepas lagi saingan dalam Serie A bulan ini selepas kelabnya, AC Milan mengumumkan dia masih positif Covid-19.

Ibrahimovic sebelum ini menjalani kuarantin dua minggu lalu ketika kali pertama diuji positif.

Keputusan itu menyebabkan dia mengeluarkan kenyataan di Twitter: “Berani Covid mencabar saya. Idea yang buruk.”

Pemain Sweden itu hanya boleh kembali ke skuad Milan yang akan berdepan Inter di San Siro pada 17 Oktober ini jika diuji negatif.

AC Milan dalam satu kenyataan turut memberitahu, pemain pertahanan, Leo Duarte akan meneruskan kuarantin biarpun ujian saringan terbaharu adalah negatif.

Pemain lain kata kelab itu semuanya turut menunjukkan keputusan negatif.

Sementara itu pencabar AC Milan, Inter juga berdepan ancaman Covid-19 dengan kelab itu mengumumkan bahawa pemain tengah, Radja Nainggolan dan Roberto Gagliardini diuji positif.

Dua kes terbaharu itu hadir sehari selepas pertahanan Slovakia, Milan Skriniar dan pemain Itali bawah 21 tahun, Alessandro Bastoni juga positif selepas bersama pasukan kebangsaan masing-masing. – MalaysiaGazette