Home Nasional Jangan takut kena kuarantin, manfaatkan skim mySalam – Najib

Jangan takut kena kuarantin, manfaatkan skim mySalam – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR- Kerajaan dan rakyat perlu memanfaatkan sepenuhnya skim mySalam yang masih belum digunakan sepenuhnya terutama ketika negara sedang hebat memerangi pandemik Covid-19.

Dengan itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak seperti agensi berkaitan, wakil rakyat dan pemimpin akar umbi menjelaskan manfaat skim tersebut kepada rakyat dan dalam masa yang sama turut membantu mereka membuat tuntutan.

Katanya, beliau bimbang ramai yang bekerja sendiri atau mengambil upah terutamanya golongan B40 di Sabah yang enggan menjalani saringan Covid-19 serta tidak mahu dikuarantin meskipun sudah bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif kerana takut hilang sumber pendapatan.

Sedangkan, sejak awal tahun ini skim mySalam telah memperkenalkan manfaat bayaran pampasan kepada mereka yang kehilangan sumber pendapatan kerana dimasukkan ke hospital akibat positif Covid-19 atau dikenakan arahan kuarantin kerana virus berkenaan.

Menurut Najib, setakat 5 Julai lalu, jumlah pampasan yang telah dibayar bagi kes Covid-19 adalah RM20.8 juta melibatkan 16,893 tuntutan sahaja.

“Saya bimbang bahawa ramai yang bekerja sendiri ataupun pekerja harian dari golongan B40 terutamanya di Sabah tidak mahu disaring walaupun sudah bergejala atau dikuarantinkan setelah mengetahui mereka ada kontak rapat dengan kes positif sebab mereka bimbang akan hilang mata pendapatan.

“Bagi golongan ini, hilang satu hari bekerja bermaksud hilang pendapatan sehari.

“Dan selagi ada yang tidak ingin tampil untuk disaring maka rantaian Covid-19 dalam komuniti tidak dapat diputuskan.

“Beritahu mereka bahawa mereka tak perlu takut disaring jika ketakutan itu berasaskan kemungkinan hilang mata pencarian.

“Kerajaan dan rakyat jangan bazirkan RM400 juta yang dibayar kerajaan PH dulu sebab yang akan dapat manfaat ialah syarikat insurans Singapura,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, sekiranya syarikat insurans berkenaan tidak membayar tuntutan yang sahih atau sengaja melambat-lambatkan bayaran, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas.

Malah Najib turut mempertikaikan sikap berdiam diri wakil rakyat dan penyokong Pakatan Harapan tentang manfaat skim MySalam seolah-olah mereka bimbang tuntutan akan meningkat tinggi.- MalaysiaGazette