KLANG – Penduduk zon merah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) terkejut ketika keluar untuk pergi bekerja kerana tidak tahu kebanyakan laluan ditutup sejak tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, anggota polis yang terlibat di setiap sekatan jalan raya berjaya menangani masalah itu.
“Kita ambil pendekatan untuk memudahkan akses keluar masuk penduduk yang perlu mengejar masa ke tempat kerja dan tugas keperluan terutamanya kecemasan di lokasi PKPB.
“Disamping kita memantau setiap pergerakan masyarakat yang menjalani PKPB supaya tidak cuai dan mematuhi SOP sepenuhnya, kita akan memastikan penduduk kawasan PKPB ini tidak mengalami kesulitan dalam akses keluar masuk di waktu puncak iaitu 7 hingga 9 pagi dan 4.30 hingga 7 petang dan pada masa sama kawalan pergerakan keluar masuk akan diawasi teliti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bagaimanapun, menurut Shamsul Amar, pihaknya menerima satu laporan mengenai insiden pencerobohan dengan mengikuti jalan pintas dan tindakan diambil dengan menutup laluan tersebut.
Tambah beliau, setiap khemah polis dan tentera yang didirikan di kawasan PKPB juga disediakan borang permohonan kebenaran keluar masuk daerah atas urusan kerja.
“Mereka boleh isi borang kebenaran rentas daerah atas urusan kerja dan perkhidmatan penting di khemah kawalan keluar masuk di setiap lokasi PKPB. Saya juga sedia maklum ia sangat memudahkan penduduk setempat yang sedang menjalani PKPB.
“Mereka kemudian boleh mendapatkan kebenaran itu di Pondok Kawalan IPD Klang Selatan atau boleh mewakilkan mana-mana ahli keluarga atau rakan untuk mengutip surat kebenaran itu,” ujar beliau.
Shamsul Amar berkata, pihaknya akan memastikan urusan harian penduduk setempat terus terpihara ketika PKPB dilaksanakan. -MalaysiaGazette
tak faham.PKPB Klang.netizen masih boleh keluar-masuk.hanya perlu isi borang polis..harap menteri kanan krselamatsn jelaskan..