Home Utama Surat pengesahan majikan tidak memadai, perlu kebenaran polis rentas daerah – KP...

Surat pengesahan majikan tidak memadai, perlu kebenaran polis rentas daerah – KP Selangor

KLANG – Orang ramai yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Mukim Klang perlu memohon kebenaran daripada pihak polis sekiranya berhasrat untuk melakukan rentas kawasan sepanjang tempoh 14 hari bermula malam ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, surat kebenaran atau pengesahan penjawatan daripada majikan tidak memadai bagi memastikan mereka dalam kategori perkhidmatan perlu (essential services).

“Surat kebenaran majikan kena ada menunjukkan dia bekerja dengan siapa dan menunjukkan ini dia perkhidmatan perlu atau sebaliknya.

“Kalau nak keluar dia kena dapatkan kebenaran daripada pihak kami dan dapat menunjukkan bukti-bukti mereka bertugas khususnya perkhidmatan perlu,” katanya yang ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Pegaga, Bukit Tinggi Klang, malam tadi.

Pihak polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Pegaga, Bukit Tinggi Klang, malam ini

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataan petang tadi memaklumkan sebanyak dua SJR dan penutupan jalan di Klang.

Antaranya Bukit Tinggi Klang di Persiaran Pegaga dan Jalan Kim Chuan, manakala penutupan jalan membabitkan Jalan Batu Unjur 9.

Satu lagi SJR pula diadakan di Taman Sri Andalas Klang membabitkan persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr Ismail, manakala penutupan jalan pula membabitkan jalan berhadapan Masjid Ar-Rahimiah, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53.

Dalam pada itu, bagi memudahkan orang ramai yang berada dalam lingkungan SJR membuat permohonan rentas daerah, pihak polis akan mendirikan pondok khas berdekatan kawalan pergerakan itu dilakukan.

“Kita nak memudahkan masyarakat di sini, tak perlu pergi ke balai polis

“Kita ada adakan perkhidmatan itu di sini (SJR). Kalau pergi ke balai polis ramai-ramai buat apa.

“Jadi kita akan memudahkan. Malah kami akan memuat naik borang kebenaran itu di Facebook kami dan masyarakat boleh muat turun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette