Home Utama Tutup sekolah yang ada kes Covid-19 – CUEPACS

Tutup sekolah yang ada kes Covid-19 – CUEPACS

Seorang guru memeriksa suhu badan pelajar sebelum dibenarkan masuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan semasa program 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melahirkan kebimbangan dengan kes positif Covid-19 di beberapa sekolah di seluruh negara ketika ini.

Lebih membimbangkan apabila sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 ini tetap berjalan seperti biasa.

Malah, CUEPACS mendapat maklum balas hampir semua sekolah yang merekodkan kes Covid-19 dalam kalangan warganya tidak kira sama ada murid atau guru telah mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kemerosotan kehadiran murid ini berasas kerana ibu bapa sudah pasti bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan Covid-19.

Dalam hal ini CUEPACS mencadangkan agar mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19 perlu ditutup sementara waktu bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan sewajarnya.

”Penutupan sementara ini adalah wajar bagi membolehkan proses mengenalpasti kontak rapat dapat dilaksanakan sekali gus mengelakkan risiko penularan lain.

”Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, CUEPACS bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan.

”Dalam masa yang sama kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sekolah dapat dijalankan dengan lebih lancar tanpa kehadiran murid-murid. Harus diingatkan apabila melibatkan kes Covid-19 di sekolah, kontak rapatnya adalah terlalu ramai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, penutupan sekolah ini tidak perlu mengambil tempoh yang panjang, cukup sekadar saringan kontak rapat dan kerja-kerja sanitasi selesai dilaksanakan.

Langkah ini sudah tentu memberi keyakinan terhadap keselamatan kepada ibu bapa dan warga sekolah termasuk guru-guru, juga selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali semasa sesi lawatan beliau ke sekolah pada 24 Jun 2020.

Timbalan Menteri itu memaklumkan sekolah yang merekodkan kes positif Covid19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tindakan itu adalah antara Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat dikawal.

Adnan berkata, oleh itu adalah wajar sekiranya Kementerian Pendidikan, KKM serta Majlis Keselamatan Negara menutup sementara sekolah-sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19.

”Jangan kita memberi risiko warga sekolah dengan pelbagai prosedur tambahan dan tidak perlu. Keutamaan kita adalah untuk memastikan keselamatan warga sekolah dan mencegah penularan Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette