KUALA LUMPUR – Hasrat seorang ahli perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk untuk mendirikan rumah tangga tercapai selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana memberi rasuah kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga tahun lepas.
Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 44, dipenjara tiga tahun dan didenda RM1.75 juta atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Sept tahun lepas, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah RM350,000 kepada pegawai APMM.
Tran kini menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Sesyen tidak membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas dirinya.
Tran (pemohon) tidak hadir pada prosiding hari ini kerana menjalani kuarantin COVID-19 di penjara Kajang. Bagaimanapun bakal suaminya, hadir di mahkamah.
Hakim juga membenarkan pemohon dilepas dengan jaminan RM400,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta mengenakan syarat tambahan iaitu pemohon (Tran) perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Terdahulu, peguam G.K.Sritharan yang mewakili Tran dalam hujahannya berkata anak guamnya yang tidak mempunyai rekod lampau, telah menetap di Malaysia lebih 10 tahun dan telah memeluk agama Islam serta akan berkahwin.
“Pemohon sentiasa hadir pada setiap prosiding, mustahil untuk beliau melarikan diri. Beliau mahu bersama anaknya yang kini berada di bawah jagaan bakal suaminya.
“Beliau juga berasal dari keluarga yang berada di Vietnam jadi mereka boleh membayar wang tersebut (jaminan). Buktinya, jaminan sebelum ini (RM250,000) pun dibayar di Mahkamah Sesyen dan kemungkinan untuk pemohon lari balik ke Vietnam memang tidak berasas. Mohon jaminan dalam RM300,000 dan mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa membantah permohonan penangguhan hukuman kerana menurut beliau isu-isu kepentingan peribadi bukan alasan istimewa untuk mahkamah menangguhkan hukuman.
“Seorang anaknya bersama bekas suami, dan seorang lagi di bawah jagaan bakal suami. Tidak ada kepentingan untuk pemohon mahukan anaknya kerana telah dijaga oleh pihak-pihak lain.
“Selain itu, pemohon sering kali ke Vietnam dan ini menunjukkan dia mempunyai kepentingan di sana. Wujud juga laluan-laluan tikus yang boleh digunakan pemohon bagi meloloskan diri,” katanya.
Nor Diana berkata kesanggupan pemohon membuat aku janji bukanlah satu justifikasi jika tiada alasan yang kukuh untuk menangguhkan hukuman.
Tertuduh didakwa memberi rasuah wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang merupakan Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor, sebagai dorongan melepaskan tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei 2017 mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Tran melakukan perbuatan sama berjumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam dan kesalahan dilakukan di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pada 4 petang, 12 Mei 2017 mengikut seksyen serupa.
— BERNAMA