Home Nasional 450 individu, 49 PATI ditahan ingkar PKPP – Ismail Sabri

450 individu, 49 PATI ditahan ingkar PKPP – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 450 individu di seluruh negara atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi pematuhan yang dijalankan, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 378 individu telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan, manakala 66 individu pula direman dan enam yang lain dijamin.
“Antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (150), aktiviti di pusat hiburan (91), penjarakan fizikal (80), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (60), terlibat dengan aktiviti pelacuran (21), tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)(15), parti liar (10), pelanggaran SOP di kawasan Perintah PKPD (21), menggaji pekerja asing tanpa permit (1) dan lain-lain (1).
Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Pertahanan, hari ini.
Menurut Ismail, operasi pematuhan semalam merupakan hari ke-122 pelaksanaan PKPP telah melibatkan 3,236 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 13,487 anggota.
“Task Force ini telah membuat 56,072 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP.
“Sebanyak 3,459 pasar raya, 4,669 restoran serta 1,442 penjaja, dan 2,148 pasar awam/tani telah diperiksa. Turut diperiksa, 3,740 tempat ibadah serta 1,367 tempat riadah,” katanya.
Sementara itu, OpsĀ Benteng telah berjaya menahan 49 PATI serta merampas sebuah bot dan tiga kenderaan darat dalam 136 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.
“Operasi Benteng telah melibatkan 109 SJR oleh pihak polis, 17 SJR oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 SJR oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette