KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari iniĀ mengesahkan terdapat kes positif Covid-19 yang melibatkan pekerja-pekerja Tropicana Corporation Berhad, Petaling Jaya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Tropicana di Petaling Jaya.
“PKPD itu akan dilaksanakan selama 14 hari berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020 yang membabitkan seramai 500 penghuni di situ.
“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama pekerja-pekerja tersebut serta membolehkan pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu sidang media secara siaran langsung di Facebook rasmi Kementerian Pertahanan, hari ini.
Walau bagaimanapun jelas Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD ini tidak melibatkan kawasan Tropicana Golf Club & Country Resort.
“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penghuni dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju untuk menutup operasi pusat membeli belah One Utama, Bandar Utama selama tujuh hari bermula 12 Oktober 2020 bagi membolehkan proses saringan dan proses sanitasi dilaksanakan.
“Keputusan itu dibuat setelah mendengar pembentangan daripada KKM berkenaan kewujudan kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di pusat membeli belah One Utama, Bandar Utama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tropicana resort dorm placed under EMCO, 1 Utama closing for 7 days.
Elakkan berkunjung ketempat2 ini! Jom semua rakyat prihatin sama2 landaikan curve penularan wabak pembunuh COVID-19!!