Home Ekonomi FGV labur RM350j bina, naik taraf rumah pekerja

FGV labur RM350j bina, naik taraf rumah pekerja

KUALA LUMPUR – FGV melabur sebanyak RM350 juta membina dan menaiktaraf kemudahan perumahan bagi pekerja-pekerja ladangnya di seluruh negara sejak tiga tahun yang lalu.

Ia telah menyiapkan 27 projek di wilayah Kuantan, Bera, Muadzam, Temerloh dan Kuala Lipis di Pahang; Semaring di Terengganu; Gua Musang di Kelantan; Trolak di Perak, Serting di Negeri Sembilan, Sampadi dan Miri di Sarawak serta Sahabat dan Kalabakan di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, masih terdapat lima projek yang sedang berjalan dan dijangka siap pada akhir tahun ini.

FGV mengendalikan 197 estet yang terletak di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Indonesia terutamanya estet yang berada di bawah FGV Plantation (Malaysia) Sdn Bhd. FGV juga mempunyai syarikat perladangan lain termasuk United Plantation Pontian di Sabah dan Asian Plantations Limited di Sarawak.

Selain rumah, FGV juga membina dewan komuniti dan rumah ibadat, padang rekreasi, kedai runcit dan pelbagai kemudahan untuk kepentingan pekerja-pekerjanya.

Di Sabah, FGV telah bekerjasama dengan kedutaan Indonesia mewujudkan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) yang membenarkan anak-anak pekerja mendapatkan pendidikan asas.

Terdapat 11 buah CLC di estet-estetnya di Sabah – sembilan di Sahabat, satu di Umas dan satu di Kalabakan, yang telah menerima pembiayaan separa dari FGV.

Tidak lama lagi, FGV akan memulakan projek “Kedai FGV”, yang mana kesemua estet-estetnya akan mempunyai kedai runcit atau pasaraya mini khusus untuk membekalkan pekerja dengan barang keperluan serta produk segar.

“Kami bekerjasama dengan pemilik-pemilik kedai sedia ada di kawasan terbabit atau menggunakan premis terbiar untuk penduduk tempatan mengoperasikan Kedai FGV tersebut,” tambah beliau.

Pekerja juga dapat menggunakan e-dompet FGV di Kedai FGV untuk membuat pembelian tanpa tunai, merupakan salah satu inisiatif berterusan oleh FGV untuk memperkasakan para pekerjanya, dengan membolehkan pekerja menguruskan kewangan mereka dengan lebih efisien.

Sistem e-dompet FGV tergolong dalam inisiatif pengekalan Perekrutan, Pengekalan dan Penghantaran Pulang (3R), yang telah berjaya diperkenalkan sejak Februari 2020 di Gua Musang, Kelantan dan melibatkan 1,500 orang pengguna berdaftar di 11 daripada estet-estet FGV.

Pada suku pertama 2021, FGV menyasarkan untuk melaksanakan sistem ini untuk keseluruhan sektor perladangannya termasuk estet di Sabah dan Sarawak.

Haris berkata, dalam era digital masa kini, FGV secara berterusan menjalankan pendekatan-pendekatan bernilai dalam menaiktaraf operasi kami menggunakan teknologi baru ke arah meningkatkan faedah pekerja FGV yang selaras dengan piawaian amalan buruh antarabangsa. – MalaysiaGazette