Home Nasional MKN wujudkan Pusat Kuarantin Transit PATI di Sabah – Ismail Sabri

MKN wujudkan Pusat Kuarantin Transit PATI di Sabah – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat dewan masyarakat akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Transit Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kota Kinabalu, Papar dan dua di Sandakan, Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasiliti itu diwujudkan bagi menempatkan PATI sebelum dimasukkan ke depot-depot tahanan.

“Sidang hari ini bersetuju meluluskan permohonan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah untuk mewujudkan Pusat Kuarantin Transit PATI setelah mendengar pembentangan.

“Ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan PATI di depot tahanan,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Pertahanan, hari ini.

Antara empat Pusat Kuarantin Transit PATI yang akan diwujudkan itu ialah di Dewan Masyarakat Manggatal, Kota Kinabalu; Dewan Masyarakat Pekan Kinarut, Papar; Dewan Sibuga, Batu 5, Sandakan dan Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16, Sandakan.

Jelas Ismail Sabri, kesemua tahanan PATI baharu ini akan menjalani saringan swab test di Pusat Kuarantin Transit PATI yang ditetapkan itu.

“Jika didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bagi yang negatif mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di pusat tahanan ini.

“Selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari dan jika negatif pada swab test kedua mereka akan dihantar ke Depot-Depot Tahanan,” katanya.  – MalaysiaGazette