Home Politik Henti permain institusi diraja demi kepentingan peribadi – ARMADA

Henti permain institusi diraja demi kepentingan peribadi – ARMADA

Ashraf Mustaqim Badrul Munir

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mengecam tindakan pihak yang mengutamakan kepentingan politik peribadi dan mengheret intitusi diraja dalam kancah perebutan kuasa.

Ketua Penerangan ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir berkata, ia berlaku ekoran rentetan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang cukup dalam kalangan ahli Parlimen bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“ARMADA hairan, adakah tiada keinsafan dalam diri pemimpin nombor satu PKR ini selaku punca atau penyebab kejatuhan kerajaan terdahulu dek kerana keghairahan politik untuk berada pada tampuk pemerintahan kuasa sehingga tindakan drastik diambil demi menjaga kemaslahatan rakyat dari sibuk berpolitik dan menggugat pentadbiran selama 22 bulan, sedang apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan.

“Juga adakah dirinya tidak menilai kesan yang telah menghimpit rakyat atas apa yang berlaku di Sabah setelah Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan DUN sehingga menyaksikan jumlah Covid-19 naik mendadak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Ashraf Mustaqim, ia bukanlah masa yang sesuai, melainkan Anwar begitu mementingkan diri dengan mengambil kesempatan dalam kesempitan selain sanggup mempergunakan serta mengheret Istana Negara untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang secara jelas diiktiraf bernaung di bawah Yang Dipertuan Agung (YDPA).

“Tindakan Anwar ini jelas mendesak istana meskipun atas kuasa YDPA secara perlembagaan dan seakan mahu ‘tunjuk ajar’ hanya demi kepentingan peribadi.

“Perlu diingatkan, lahirnya Perikatan Nasional adalah setelah jatuhnya kerajaan sebelum ini, bukannya plot menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah naungan YDPA yang sedang dalam pentadbiran sepertimana yang digerakkan Anwar Ibrahim,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette