KUALA LUMPUR – Pengeluar produk kosmetik berjenama Kekasih, The Melvins Resources Sdn. Bhd. (The Melvins Resources) menyasarkan perolehan jualannya mampu mencecah kepada RM11 juta pada akhir tahun ini.
Pengasas bersama syarikat, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin berkata, keyakinan sasaran jualan itu bersandarkan kepada faktor sambutan yang menggalakkan daripada lebih 5,000 pengedar dan stokis di seluruh negara.
Jelas beliau, ia turut disokong perolehan jualan sejak The Melvins Resources mula beroperasi Mei tahun lalu adalah sebanyak RM10 juta yang merupakan satu pencapaian terbaik buat syarikat.
“Syarikat masih berdiri kukuh dengan sokongan daripada pelanggan terhadap empat produk keluarannya walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi sukar dalam pasca Covid-19.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, memang kami buntu namun rupanya ia merupakan hikmah kepada syarikat kerana purata jualan bulanan sejak PKP mencecah RM1 juta manakala jualan bulanan tertinggi pada Ramadan lalu sebanyak RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk terbaharu syarikat, Maskara (Hijab Mata Kekasih) di sini baru-baru ini.
The Melvins Resources yang diasaskan empat beradik itu sebelum ini tampil dengan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir dan blusher pada harga jualan antara RM39 hingga RM49 seunit.
Siti Nur Syafiqa mengakui pelaburan besar dalam pemasaran telah membuahkan hasil seperti pemberian hadiah saguhati bagi pembelian produk serta melancarkan produk kosmetik untuk bilangan terhad membuatkan ramai pelanggan teruja membuat koleksi peribadi masing-masing.
Malah tambah beliau, syarikat juga menghantarkan stokis-stokis yang berkelayakan untuk menimba ilmu pemasaran atas talian tanpa mengenakan bayaran.
Tambah beliau, syarikat yang telah berjaya menjual lebih daripada 9,000 matte bibir itu merancang untuk memperkenalkan dua lagi produk baharu pada masa akan datang.
Belia menjelaskan, pihaknya telah berjaya menawarkan peluang perniagaan berpotensi khususnya suri rumah, ibu tunggal, graduan dan pelajar serta mereka yang baru diberhentikan kerja.
“Lebih daripada 50 peratus pengedar aktif kami kini terdiri daripada golongan suri rumah yang berkaya mendapat pendapatan sampingan lima angka,” jelasnya. – MalaysiaGazette