KUALA LUMPUR – “Ini kenangan paling manis dalam karier saya sepanjang bergelar pemain.
Demikian luahan ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim apabila menjulang kejuaraan Liga Premier bersama pasukannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.
Perkara itu dizahirkan oleh Azmi kerana selaku anak jati Pulau Pinang, ini merupakan musim sulung dia menyarung jersi skuad Harimau Kumbang selepas hampir 14 tahun berkecimpung selaku pemain bola sepak profesional dan seterusnya membawa kejuaraan kepada Pulau Pinang.
Jelas Azmi, niatnya pulang ke Pulau Pinang memang mahu meletakkan pasukan itu kembali menjadi pasukan yang disegani dan bersyukur segalanya jadi kenyataan kerana mampu menghadiahkan kejuaraan pertama Pulau Pinang dalam sejarah Liga Premier.
“Niat saya awalnya pulang ke Pulau Pinang adalah untuk membantu pasukan dan letak sasaran ke Liga Super, namun jelas pasukan ini berada di landasan terbaik sejak awal dan alhamdulilah, kami mampu melakukannya.
“Secara peribadi, saya akui ini antara kenangan paling manis dalam karier kerana saya pulang ke Pulau Pinang sebagai anak jati, dan saya membawa kejuaraan kepada Pulau Pinang.
“Malah, saya akan membawa Pulau Pinang ke Liga Super pada musim depan dan semua perkara ini akan kekal menjadi detik manis buat saya sebagai anak jati Pulau Pinang, “ katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.
Memulakan kariernya bersama UPB-MyTeam pada 2007, Azmi yang berasal dari Batu Lanchang, Jelutong, pernah bermain dengan banyak pasukan ternama seperti Kedah,ATM, Johor Darul Ta’zim (JDT), Felda United, Selangor, PKNS, Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ke Pulau Pinang, pada musim ini.
Menyentuh mengenai resipi pasukan, Azmi melihat kemampuan ketua jurulatih, Manzoor Azwira dalam membentuk keserasian yang baik antara pemain senior dan muda serta dibantu beberapa tonggak import sebagai punca di sebalik kejayaan Pulau Pinang pada musim ini.
“Manzoor ini ada kekuatan untuk membuatkan pemain senior mampu bergabung dengan pemain muda untuk beraksi sebagai satu pasukan pada sepanjang musim ini.
“Malah saya dapat lihat pemain muda rata-ratanya agak bagus serta berkualiti dan nampak mereka betul-betul mahukan sesuatu untuk berikan kejayaan kepada Pulau Pinang, “ katanya.
Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Terengganu FC II melalui jaringan tunggal Jordan Mintah pada minit 88 yang sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah mereka selepas 10 perlawanan namun keputusan itu tidak menghalang buat skuad kendalian Manzoor Azwira itu dinobatkan selaku juara Liga Premier.
Dalam aksi Liga Premier pada Jumaat, Kelantan dan Kelantan United FC menjadi dua pasukan terakhir layak ke TM Piala Malaysia apabila masing-masing menang pada perlawanan minggu ke-11.
Kelantan mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT II) 1-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos hasil jaringan Danial Ashraf pada minit 28 manakala Kelantan United menamatkan rentetan kekalahan enam perlawanan berturut-turut sebelum ini untuk menang ke atas Selangor 2 di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu.
Biarpun ketinggalan 0-1 apabila penyerang Selangor 2, Danial Asri menghasilkan jaringan pada minit-14, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit-28 melalui Shahrul Hakim sebelum Alfusainey Gassama muncul wira pasukan hasil gol kemenangan pada minit-58.
Kemenangan Kelantan United itu menguburkan hasrat UKM FC dan Sarawak United untuk beraksi di TM Piala Malaysia biarpun kedua-dua pasukan meraih kemenangan 2-1 ke atas lawan masing-masing.
Akanni Sunday Wasiu dan Baqiuddin Shamsuddin menjadi penjaring buat UKM FC di babak pertama manakala gol tunggal Perak II oleh Aliff Najmi pada minit-47 di UM Arena.
Sementara itu, Sarawak United di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, bangkit menerusi Adam Shreen Tambi pada minit-56 dan Milad Zanipour, minit-60 untuk memadamkan kelebihan Negeri Sembilan yang mendapatkan jaringan daripada Igor Luiz pada minit-48.
Kelantan United layak hasil rekod jaringan lebih baik ke atas UKM FC biarpun berkongsi 12 mata sementara Sarawak United di tangga ke-10 dengan memungut 11 mata. – MalaysiaGazette